10 Bulan Tadbir Negara, PH Masih Gagal Kaitkan Sesiapa Dengan 1MDB

305

SEREMBAN: Mohamad Hasan menjelaskan beliau tidak pernah meminta bekas perdana menteri Najib Razak dipenjarakan susulan skandal 1MDB.

Timbalan presiden Umno itu berkata laporan setengah media seolah-olah beliau mahu Najib ditangkap tidak tepat.

Katanya, beliau menyentuh mengenai kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan bekas perdana menteri itu bersalah atas tuduhan berkaitan 1MDB.

“Mereka kata telah menyediakan kertas pertuduhan untuk Najib, (tetapi) terlalu lama masa diambil. Itu temberang sahaja. Sekarang kes 1MDB pun mereka tidak nak selesaikan,” katanya dalam temubual bersama beberapa wakil media di Bilik Gerakan Utama PRK DUN Rantau.

Mohamad turut mempersoalkan sehingga kini, ahli perniagaan Low Taek Jho, yang didakwa merupakan individu utama dalam kes 1MDB belum ditangkap.

“Jho Low individu utama, (tetapi) kenapa tak tangkap?,” beliau bertanya.

Mohamad melahirkan rasa simpati terhadap bekas presiden Umno itu kerana terpaksa keluar masuk mahkamah.

“Hampir 10 bulan (PH mentadbir negara) sebagai kerajaan (tapi isu 1MDB tidak selesai), (Najib) keluar masuk mahkamah.

“Kesian Najib, berdepan dengan 40 ke 50 pertuduhan.

“Kamu tidak memerlukan 50 pertuduhan. Jika kamu benar-benar mempunyai bukti yang benar-benar kuat, hanya satu pertuduhan,” katanya.

Katanya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, juga menerima nasib yang sama, dengan berdepan 45 pertuduhan.

“Jadi nak main drama ke apa? Zahid sampai 45 pertuduhan.”

Semalam, pada ceramahnya di Kampung Sendayan, Mohamad berkata, kerajaan PH ketandusan modal dalam serangan terhadap BN apabila ia sering memainkan isu skandal 1MDB setiap kali pilihan raya.

Katanya, walaupun kerajaan PH kini memegang tampuk pentadbiran negara, namun mereka masih gagal membuktikan Najib benar-benar bersalah berhubung skandal tersebut.