115 Laporan Polis, Zakir Naik Kini Disiasat

909

Pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik kini disiasat polis di bawah Seksyen 504 kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka berdasarkan satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Gombak dan sehingga kini sebanyak 115 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan isu sama.

Huzir berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Zakir mengeluarkan kenyataan terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai respon balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat pada satu syarahan di Kelantan, minggu lalu di mana beliau turut mengeluarkan kenyataan berkaitan penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan perdana menteri India berbanding Malaysia.

Zakir membuat kenyataan mengenai kaum Cina di Malaysia itu apabila bercerita tentang bagaimana agama Islam tersebar dengan aman di sekitar daerahnya melalui pedagang.

Bagaimanapun hari ini, penceramah kontroversi itu mendakwa ucapannya berhubung penganut Hindu di negara ini diambil di luar konteks.