20 Pemimpin DAP Letak Matlamat Utama Mahu Matrikulasi Digantikan Dengan STPM

336

PETALING JAYA: Sekumpulan pemimpin DAP berkata dalam jangka masa panjang, jemaah menteri tidak seharusnya menambah bilangan pelajar program matrikulasi, agar di masa depan semua kumpulan masyarakat boleh bermula di garis permulaan yang adil untuk memasuki universiti awam.

Dalam satu kenyataan bersama, 20 pemimpin DAP itu berkata jemaah menteri sebaliknya harus mengurangkan bilangan pelajar program matrikulasi secara beransur-beransur, dan melangkah ke arah “menyatukan sistem peperiksaan kemasukan institusi pengajian tinggi awam”.

“Matlamat utama seharusnya adalah menggantikan peperiksaan program matrikulasi dengan peperiksaan STPM yang diiktiraf dan diterima seluruh dunia kerana kredibiliti dan tahap akademik sijil STPM cukup tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Gesaan itu antara beberapa cadangan jangka masa panjang dan jangka masa pendek yang mereka kemukakan dalam kontroversi tentang bilangan tempat dan kuota program matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Semalam, jemaah menteri membuat keputusan untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi daripada 25,000 tempat kepada 40,000 tempat, tetapi mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera.

Perkembangan ini menyusuli gesaan beberapa pihak yang mahu kerajaan mengkaji semula dasar itu atau membuka lebih banyak tempat dalam program matrikulasi kerajaan kepada pelajar bukan Bumiputera.

Sebelum ini, ahli akademi Teo Kok Seong menjelaskan program matrikulasi lebih singkat dan lebih mudah lulus berbanding STPM, dan ia merupakan alternatif untuk meningkatkan penyertaan pelajar Bumiputera di universiti awam.

Kumpulan 20 pemimpin DAP itu bimbang peningkatan bilangan kemasukan pelajar program matrikulasi akan menjejaskan peluang pelajar STPM.

Mereka juga khuatir, akan ramai lagi pelajar bukan Bumiputera berebut memasuki matrikulasi yang lebih mudah mendapat gred tinggi.

“Dengan mengambil kira faktor tersebut, jumlah pelajar yang memilih sijil STPM akan semakin berkurangan,” katanya.

“Akibatnya, tahap kredibiliti dan pengiktirafan STPM yang tinggi dan dibina di arena nasional dan antarabangsa selama berpuluh-puluh tahun ini akan semakin terjejas.”

Dalam jangka masa pendek, kumpulan tersebut mencadangkan:

  • UPU menggunapakai nisbah 50% pelajar matrikulasi dan 50% pelajar STPM untuk mengimbangkan kedua-dua jenis peperiksaan.
  • Mengumumkan CGPA dan markah minimum matrikulasi dan STPM bagi kemasukan ke pelbagai kursus di setiap universiti, sebagai panduan jelas kepada pelajar sewaktu memilih kursus.
  • Mengkaji semula sistem pemarkahan matrikulasi, meneluskan markah dan syarat bagi setiap kursus di setiap varsiti, meningkatkan nilai ambang pelajar matrikulasi untuk memperoleh gred 4.0, dan menghentikan manipulasi sistem pemarkahan yang menjadikan program matrikulasi “jalan belakang” ke universiti.
  • Mengkaji semula sistem pemarkahan ko-kurikulum pelajar matrikulasi, yang menyebabkan pelajar STPM ketinggalan lebih kurang 10 markah daripada pelajar matrikulasi, dan menjadi perbezaan kritikal dalam pemilihan memasuki universiti.

Antara pemimpin DAP yang menandatangani kenyataan bersama itu adalah Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Adun Tras, Chow Yu Hui dan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu.