Peminat Mahu Derma Buah Pinggang Kepada Ebby Yus

183

KUALA LUMPUR: Pelawak yang berdepan masalah buah pinggang bocor, Ebby Yus, 55, terkejut apabila seorang peminat meluahkan hasrat mendermakan sebelah ginjal bagi meredakan penderitaannya.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, dia ingin berjumpa dulu pemuda terbabit, yang menawarkan bantuan menerusi ruangan komen di Facebook, sebelum memberikan sebarang keputusan.

“Saya memang tak sangka apabila ada kenalan memaklumkan mengenai hasrat anak muda itu, apatah lagi ia pengorbanan besar kepada seseorang seperti saya yang tidak dikenalinya.

“Saya tertanya-tanya dalam hati, apakah kebaikan saya lakukan sampai ada peminat yang sanggup mendermakan organnya kepada saya?

“Bukan menolak, cuma tak sampai hati mahu ambil buah pinggang insan lain. Buat masa ini, kita berikhtiar dulu, tetapi kalau boleh memang saya mahu menemuinya sebelum mengerjakan umrah, 28 Januari ini.

“Bagi saya, niat yang disampaikan itu sudah cukup besar maknanya, sekali gus menguatkan lagi semangat diri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru, di sini hari ini.

Ebby kelihatan ceria menerima kunjungan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) diketuai Presidennya, Zed Zaidi, dan berbesar hati dengan keprihatinan serta bantuan daripada pelbagai pihak sebaik sahaja kisahnya dikongsi BH Online, minggu lalu.

PRESIDEN SENIMAN, Zed Zaidi, menyampaikan sumbangan kepada Ebby Yus pada program ziarah kasih kebajikan di rumah pelawak itu, di Kuala Lumpur. – Foto Mahzir Mat Isa

Hadir sama dalam kunjungan itu, Pemangku Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Shakib Ahmad Shakir.

Terdahulu, selain masalah ginjal tahap tiga sejak setahun lalu, Ebby juga semakin lemah disebabkan penyakit jantung, prostat, kencing manis, darah tinggi gastrik dan saraf.

Menyentuh keadaannya, kata Ebby, doktor akan menilai tahap kesihatannya dalam tempoh tiga bulan lagi sama ada perlu menjalani dialisis atau sebaliknya.

Begitupun, buat waktu ini dia perlu menjaga pemakanan dan mengawal pengambilan air, selain mengambil ubat berjadual untuk beberapa penyakit lain.

Kongsinya lagi, sebelum ini SENIMAN dan beberapa persatuan lain pernah menawarkan bantuan, cuma dia berat hati untuk menerimanya berikutan masih boleh bekerja.

“Sekarang, kesihatan saya memang turun naik hingga kerap berulang-alik ke hospital. Begitupun, baru-baru ini saya tetap menerima tawaran membintangi sebuah sitkom disebabkan penggambarannya dilakukan dalam studio. Jadi, adalah sikit duit belanja ke Makkah.

“Sebelum ini, saya bukan tak sudi (menerima bantuan). Saya terpaksa menolak sebab di luar sana ada ramai lagi yang lebih memerlukan berbanding saya.

“Apabila SENIMAN datang hari ini, saya tidak boleh menolak lagi selepas mereka merayu untuk meringankan beban. Mana pula ada orang yang perlu merayu untuk menolong,” katanya yang sempat berseloroh.

Berharap dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadat di Tanah Suci, Ebby mengakui hanya sabar dan tawakal menunggu detik berkenaan.

“Saya bersyukur dikelilingi insan pemurah yang turut menjadi pembakar semangat saya. Siapa yang tak mahu diberikan kesembuhan?

“Sebenarnya, akhir tahun lalu pun ada sahabat yang menawarkan sumbangan untuk membawa saya menjalani rawatan di India bersama seorang ahli keluarga.

“Namun selepas berbincang dengan adik-beradik, saya ikhtiar ubati penyakit saya di sini dulu. Doakan semuanya dipermudahkan,” ujarnya.