25 Syarikat Konsesi Lebuhraya Umum Diskaun Sehingga 30 Peratus Sempena Tahun Baru Cina

370

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Sebanyak 25 buah syarikat konsesi lebuh raya hari ini mengumumkan diskaun tol kepada pengguna kenderaan kelas pertama pada kadar 10 hingga 30 peratus sempena sambutan Tahun Baru Cina pada 5 Februari ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, diskaun tol itu berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula pada pukul 12 tengah malam hingga 11.59 pada hari Selasa.

“Pemberian diskaun sebanyak 10 peratus melibatkan 14 tol antaranya Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya KL-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), Lebuhraya Utara Selatan ( Plus) dan Jambatan Pulau Pinang.

“Sementara itu, enam lebuh raya akan menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus, dua tol dengan potongan 20 peratus dan 30 peratus di Lebuhraya Cheras-Kajang ( Grand Saga), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (Duke) dan Lebuhraya Damansara- Puchong (LDP),” katanya di sini hari ini.Advertisement

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya sempena sambutan Tahun Baru Cina 2019.