Abu Chin Peng : Patriot Akhirnya Keluarkan Kenyataan, Sokong Kenyataan Tun M

1570

Kumpulan veteran tentera Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini menyokong kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menganggap isu abu bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dijadikan isu perkauman untuk memburukkan kerajaan.

Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji yang meluahkan rasa bimbangnya berharap supaya insiden memerangi PKM dapat dijadikan pengajaran untuk generasi akan datang dan bukannya membangkitkan isu perkauman.

“Saya khuatir.. komen-komen dari pelbagai pihak hanya mahu mencetuskan pertelagahan antara kaum.

“Jika Chin Peng dianggap penderhaka, mengapa tidak kita juga anggap anggota PKM bangsa Melayu yang seangkatan dengan Chin Peng juga penderhaka?

“Sebagai bekas seorang anggota tentera yang pernah terlibat memerangi PKM dan melihat sahabat seperjuangan terkorban, saya anggap semua itu satu pengajaran bagi generasi akan datang supaya sentiasa berwaspada agar negara tidak melalui peristiwa yang sama,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata isu kepulangan abu mayat Chin Peng itu diperbesarkan untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan dan mempersoalkan mengapa tiada yang mempertikaikan tindakan kerajaan membenarkan pemimpin Melayu PKM Shamsiah Fakeh dan Rashid Maidin pulang ke tanah air.

“Kenapa? Sebab dia Melayu kot? Rashid Maidin boleh mai (datang) ke Malaysia, ada lain-lain lagi kita terima tapi Chin Peng kita tak mahu terimalah sebab dia ketua,” kata Mahathir.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, meninggal dunia di Thailand pada 2013 dibawa pulang ke Malaysia oleh sekumpulan individu pada September lalu.

Mendiang merupakan setiausaha agung PKM dan bermastautin di Thailand sejak parti itu mengakhiri perjuangan bersenjatanya pada 1989.

Selain Mahathir, bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor turut mempertahankan tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng dengan mengatakan pemimpin komunis itu bukan lagi menjadi suatu ancaman.

Abdul Rahim berkata perjuangan PKM tamat selepas parti itu menandatangani Perjanjian Damai Hat Yai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989.