Adib Dipukul Hanya Anggapan Kata Saksi

207

Saksi inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, Ahmad Shahril Othman berkata laporan polis mengatakan Adib ditarik perusuh dan dipukul dalam rusuhan di kuil Seafield November lalu adalah anggapannya.

Pegawai perubatan itu, yang memandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Adib ketika kejadian berkata, dia membuat anggapan itu kerana bomba diserbu perusuh dan mereka cuba membuka pintu kenderaannya.

Shahril menjawab pertanyaan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah yang meminta dia menjelaskan kandungan laporan polisnya yang berbeza dengan keterangan kepada inkues hari ini.

Saksi ke-3 ini di hari ke-2 inkues berkata dia tidak sedar bagaimana Adib hilang dari van kerana ketika kejadian dia sedang mengawal kenderaannya yang teranjak apabila dilanggar trak bomba dan dalam masa yang menahan pintu daripada dibuka perusuh.

“Kalau pintu saya cuba diceroboh oleh perusuh, untuk buka pintu saya dengan tujuan untuk memukul, mencederakan saya, tidak mustahil berlaku pada arwah Adib.

“Kita tengok kenderaan bomba diserang begitu teruk. Kalau dapat (anggota bomba), tentu dia akan lakukan benda yang sama pada anggota itu.”

Shahril tidak dapat bayangkan sebab lain perusuh cuba membuka pintu kenderaan penyelamat, yang turun ke lokasi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas untuk memadam api kenderaan-kenderaan yang terbakar.

“Buat apa dia nak buka pintu saya?” katanya.

Shahril menyorot perhatian inkues kepada 2 topi keledar yang ditemui dalam van EMRS ketika di balai polis selepas berjaya melepaskan diri daripada kumpulan perusuh.

“Saya nampak 2 buah helmet dalam kenderaan. Saya tanya (seorang anggota bomba) Muhammad Hazim Rahimi di mana Adib. Dia cakap tak tahu dalam keadaan muka pucat dan cemas,” katanya.

Terdahulu, Shahril berkata dia terkejut melihat Hazim, yang pergi ke kuil Seafield menaiki trak bomba, berada di bahagian belakang vannya selepas mereka berjaya melepaskan diri.

Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Difahamkan seramai 30 saksi akan dipanggil dalam inkues itu yang dijangka berlangsung selama 52 hari.