ADUN DAP Turut Hadir Majlis Perjumpaan 400 Bekas Ahli Parti Komunis Malaya

627

HAMPIR 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang, hari ini.

Perjumpaan itu jam 10.15 pagi itu sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja program itu, Wong Kam Leong berkata, pertemuan itu sekadar mengeratkan kembali hubungan di antara mereka yang sudah lama tidak bertemu.

Menurutnya, kebanyakan bekas ahli PKM sudah berusia antara 60 hingga 80 tahun yang mana perjumpaan itu dalam memperkukuhkan kembali perkenalan mereka.

“Tiada perkara lain dibincangkan dan ia sekadar eratkan hubungan antara kami,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Wong, majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu dan veteran PKR Syed Hussin Syed Ali.

Ditanya mengenai mengapa ulang tahun itu diadakan sedangkan tidak pernah diraikan sebelum ini, Wong berkata, punca utama disebabkan faktor ekonomi yang mana sumber kewangan yang terhad.

“Dengan itu, tahun ini adalah kali pertama diadakan. Untuk tahun akan datang, kami tidak pasti akan adakan perjumpaan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi berkata, permit tidak diperlukan kerana itu program itu tertutup.