Ahli Parlimen DAP Labis Berlaku Biadap Terhadap Sultanah Johor, TMJ

911

Bekas Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia, UUM, Dr Kamarul Zaman Yusof semalam melalui facebook miliknya telah menaikkan dua status berasingan dan menempelak Ahli Parlimen DAP Labis, Pang Hok Liong yang dilihat berlaku biadap terhadap Istana Johor.

Dr Kamarul melalui status pertamanya menulis;

DAP MAHU CARI GADUH DENGAN ISTANA JOHOR?

Meneliti senarai 122 “Pertanyaan Bagi Jawab Lisan” yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen yang terkandung dalam “Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat” untuk “Hari Isnin, 1 Julai 2019” (esok), saya teruja dengan pertanyaan dua Ahli Parlimen PAS, iaitu:

Pertanyaan 22. PR-1422-L05387 Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [ Sik ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah pihak Kerajaan mempunyai perancangan meminda akta Mahkamah Syariah untuk mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah setanding Mahkamah Sivil khususnya Akta 355 Mahkamah Syariah.

Pertanyaan 51. PR-1422-L05342 Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta MENTERI HAL EHWAL EKONOMI menyatakan perkembangan semasa 63 resolusi Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara.

Dalam konteks Kelantan pula, dua pertanyaan yang sangat bagus adalah:

Pertanyaan 62. PR-1422-L05427 Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [ Pasir Mas ] minta MENTERI HAL EHWAL EKONOMI menyatakan status pembayaran royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang telah dijanjikan setelah Kerajaan Kelantan secara rasmi menarik balik saman yang telah difailkan ke atas PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan pula sebagai pencelah sekaligus sebagai defendan kedua sebelum ini.

Pertanyaan 90. PR-1422-L04971 Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed [ Jeli ] minta MENTERI HAL EHWAL EKONOMI menyatakan status terkini pelaksanaan lima projek utama di Kelantan yang diumumkan sewaktu lawatan kerja ke negeri tersebut pada 8 Mac 2019. Apakah ada sebarang perancangan untuk menyegerakan pelaksanaan projek-projek ini.

Begitupun, saya sangat terkejut dengan Pertanyaan 40 yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen DAP Labis, Pang Hok Liong, yang “Minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan sama ada nombor plat “TMJ” dan “RZ” telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai pendaftaran kenderaan yang sah oleh mana-mana pihak dan sekiranya tidak, sama ada kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor plat itu dibenarkan di atas jalan raya.”

Tertanya-tanya apakah kerelevanan soalan ini dengan permasalahan hidup rakyat atau kemajuan ekonomi negara kerana, mengikut carian internet:
(1) Nombor plat “TMJ” adalah digunakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris.
(2) Nombor plat “RZ” adalah digunakan oleh Sultanah Johor, Raja Zarith Sofiah.

Apakah DAP mahu mencari gaduh dengan Istana Johor bila membangkitkan pertanyaan sama ada nombor plat “TMJ” dan “RZ” telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai pendaftaran kenderaan yang sah?

Sudah terlalu kuatkah agaknya DAP hingga berani “melanggar” atau cuba memalukan Istana Johor?

Melalui status kedua pula, beliau mengimbas semula perlakuan biadap dari wakil rakyat yang sama sebelum ini;

AHLI PARLIMEN DAP LABIS DUA KALI BIADAB, PERTANYAAN BELIAU DI PARLIMEN SEPATUTNYA DITOLAK AWAL-AWAL LAGI

1. Tindakan Ahli Parlimen DAP Labis, Pang Hok Liong, mempersoalkan sama ada nombor plat “TMJ” dan “RZ” yang digunakan oleh Tunku Mahkota Johor dan Sultanah Johor telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan mempersoalkan mengapa kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor plat itu berada di atas jalan raya jika nombor plat itu tidak didaftarkan merupakan satu perbuatan biadab yang tidak boleh dikompromi kerana ia adalah cubaan untuk "melanggar" atau “memalukan” Sultan Johor khasnya dan Raja-Raja Melayu amnya.

2. Jelas dapat dilihat dalam kandungan soalan ini bahawa Ahli Parlimen DAP Labis ini mempunyai sangkaan jahat terhadap pemilik nombor plat “TMJ” dan “RZ” bahawa mereka mungkin tidak mendaftarkannya dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan mereka mungkin melanggar undang-undang dengan menggunakan kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor plat yang mungkin tidak didaftarkan.

3. Parlimen adalah institusi penggubalan undang-undang tertinggi negara yang sepatutnya digunakan untuk membincangkan pelbagai soal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara serta tidak sewajarnya disalahgunakan untuk membicarakan perkara-perkara dangkal atau remeh seperti sama ada nombor plat tertentu telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.

4. Bukannya tidak boleh diselidiki mengenai perkara begini jika ia melibatkan kerugian kepada hasil negara, tetapi tidak perlulah soalan begini ditanyakan di Parlimen kerana sudah memadai ia diselidiki secara tertutup kerana sangkaan jahat terhadap mana-mana individu begini tidak sepatutnya dibuat di Parlimen, apatah lagi apabila ia melibatkan nama baik Raja-Raja Melayu yang menjadi tempat tumpah setia rakyat.

5. Sebab itulah soalan ini sepatutnya ditolak awal-awal lagi kerana ia bercanggah dengan panduan yang digariskan oleh Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (“Standing Orders of the Dewan Rakyat”), khususnya kerana ia:
(i) “Mengandungi hujah, sangkaan, fikiran, tohmah, puji atau keji atau mengandungi kalimah-kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara-perkara remeh” (“contain argument, interference, opinion, imputation, epithet or misleading, ironical or offensive expression or is frivolous or seeks information on trivial matters”).
(ii) “Menuduh atau membayangkan tuduhan terhadap sifat diri seseorang” (“making or implying a charge of a personal character”).

6. Lebih teruk lagi adalah kerana baru sahaja pada 16 Mei lalu Sultan Johor menzahirkan kemurkaan Baginda kepada Ahli Parlimen DAP Labis ini kerana:
(i) Mencabul kesucian masjid dan sekaligus menggugat kedudukan Islam sebagai agama Negeri Johor Darul Ta’zim.
(ii) Melanggar sempadan yang telah Baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri Johor gariskan sebelum ini.
(iii) Tidak sensitif terhadap undang-undang, peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor.
(iv) Mengguris perasaan umat Islam terutama di dalam bulan Ramadan yang mulia.
(v) Bertindak biadab dan tidak beretika yang tidak boleh diterima sama sekali.

7. Di sebalik memohon maaf kerana mendatangkan kemurkaan Sultan Johor, Ahli Parlimen DAP Labis ini dilihat cuba pula "melanggar" atau “memalukan” Baginda dengan melemparkan sangkaan jahat terhadap ahli keluarga Baginda melalui soalan yang dikemukakan di Parlimen.

8. Dua kali biadab nampaknya Ahli Parlimen DAP Labis ini.