Akhirnya Ustazah Nurfarhana Akan Ditugaskan Di Sekolah Berhampiran Kediaman

263

ALOR SETAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah bersedia untuk membantu guru Pendidikan Islam, Nurfarhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sebelum ditemui selamat di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar, Perak 17 Januari lalu, untuk ditempatkan semula.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri, Abd. Aziz Selaiman JPN negeri juga bersedia untuk menempatkan ustazah terbabit di mana-mana sekolah di negeri Kedah yang berhampiran dengan kediamannya.

Justeru katanya proses pertukaran beliau perlu mengikuti prosedur biasa dalam perkhidmatan.

Tegasnya, pihak JPN negeri turut bersedia membantu guru agama terbabit mengatasi apa-apa masalah yang dihadapinya selepas urusan bersama JPN Pulau Pinang selesai.

“Saya difahamkan dia (Nurfarhana) akan menjalani proses biasa pertukaran dan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang sedang menghubungi bahagian pengurusan sekolah harian dan mungkin ada juga melibatkan penyesuaian, saya pun tidak boleh kata dia pun akan ditukarkan dan sebagainya, tetapi sebab kes ini mungkin agak serius.

“Mungkin ada wajaran yang dipertimbangkan pihak jabatan pendidikan, dan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Kedah kita cuma menunggu arahan saja, jika ada arahan pertukaran antara negeri memang akan ada sampai Pengarah Pendidikan Negeri Kedah dan kita akan gerakkan dia ke sekolah berhampiran dengan rumah kediamannya bagi membantu dia,” Majlis Perjumpaan Bersama Pengetua dan Guru Besar di Dewan Sri Mentaloon di sini, hari ini.

Justeru Aziz meminta pihak pengurusan sekolah mewujudkan ekosistem yang ceria di sekolah bagi mengatasi masalah tekanan guru di tempat kerja.

Ini sekali gus mampu menyelesaikan masalah 36,000 orang guru di negeri Kedah keluar daripada status guru “dukalara”.

17 Januari lalu, Ustazah Nurfarhana Ibrahim dilaporkan hilang dan ditemui selamat selepas hadir sendiri ke Balai Polis IPD Kuala Kangsar.

Kehilangannya menimbulkan tanda tanya selepas beberapa barangan milik peribadi seperti beg tangan dan kunci kereta ditinggalkan di atas meja di Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang.