Akibat Sokong PAS dan UMNO, Guru Di Kelantan Akan Dikenakan Tindakan Tatatertib?

682

Dari facebook Kamarul Yusoff;

GURU-GURU DI KELANTAN AKAN DIKENAKAN TINDAKAN TATATERTIB?

Tertarik dengan aduan Siti Norina Mohamad kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, dalam program Bicara Bersama Menteri yang berlangsung di Kedai Cikgu Fatah, Jalan Dato Lundang, Kota Bharu, malam tadi.

Kata Siti Norina , penjawat awam yang menentang kerajaan dan yang menjadi lidah penyambung fitnah kepada PAS dan UMNO adalah terlalu ramai dalam media sosial dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh kerajaan.

Beliau, yang menyatakan beliau adalah seorang pegawai di Jabatan Pendidikan (Kelantan), menyebut akan ada guru-guru yang membantai beliau habis-habisan bila beliau memuatkan sesuatu perkara mengenai kerajaan dalam Facebook.

Kata beliau, guru-guru yang menentang kerajaan dan yang menjadi lidah penyambung fitnah kepada PAS dan UMNO ini sudah menyalahi Peraturan 4(1) Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Kata beliau lagi, perkara ini sangat membahayakan kerajaan kerana sekarang umur boleh mengundi dalam pilihan raya sudah diturunkan kepada 18 tahun dan guru-guru cukup mempengaruhi pelajar-pelajar yang akan mengundi.

Jawapan Khalid Samad kepada Siti Norina adalah: “Kalau ada maklumat ini semua serah pada kita mungkin kita boleh sampaikan dan kita boleh ambil tindakan”.

Jaga-jaga ya guru-guru semua, elakkan dari dikenakan tindakan tatatertib kerana “menentang kerajaan dan menjadi lidah penyambung fitnah kepada PAS dan UMNO”.