Ambil Alih 4 Konsesi Tol Hanya Akan Timbulkan Masalah Penyelenggaraan Kepada Kerajaan

515
Camera 360

Hari ini, kerajaan dilaporkan telah mengemukakan tawaran sebanyak RM6.2bilion untuk tujuan mengambil alih 4 konsesi tol yang dijangka melibatkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Malaysiakini melaporkan;

Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) hari ini mengeluarkan surat tawaran untuk mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya.

Menurut pemfailan berasingan dengan Bursa Malaysia oleh Gamuda Bhd dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak Holdings), MOF Inc mengeluarkan surat tawaran kepada Kesas Holdings, Sprint Holdings, Litrak Holdings dan Smart Holdings.

Berdasarkan pemfailan itu, kerajaan menawarkan sehingga RM6.2 bilion untuk mengambil syarikat-syarikat berkenaan.

Keputusan ini mungkin menandakan langkah pertama kerajaan ke arah mengurangkan kadar tol.

Februari lalu, kerajaan mendedahkan sedang berbincang dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih empat lebuh raya di mana syarikat itu mempunyai pegangan majoriti.

Berdasarkan pengumuman hari ini, empat lebuh raya itu dijangka ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan empat lebuh raya itu memiliki 48 peratus pegangan saham bagi lebuhraya bertol di bandar (tidak termasuk yang dikendalikan oleh Plus Malaysia Bhd) berdasarkan hasil kutipan tol.

Lim berkata beliau berharap syarikat-syarikat itu boleh diambil alih pada harga yang “adil dan munasabah”.

Beliau juga berkata jika berjaya pengambilalihan itu berjaya, kerajaan akan dapat menjimatkan sebanyak RM5.3 bilion bayaran pampasan kepada pengendali lebuh raya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Februari lalu, rancangan awalnya adalah untuk memperkenalkan sistem “caj kesesakan” di mana caj tol sedia ada hanya akan dikenakan pada waktu puncak.

Caj tol tidak akan dikenakan di luar waktu puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi. Manakala caj tol pada waktu lain akan dikenakan diskaun sebanyak 30 peratus.

Pada masa itu, PMO berkata caj tol diperlukan untuk penyelenggaraan lebuh raya dan membayar balik pinjaman konsesi.

Sebarang lebihan akan digunakan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam, tambahnya.

Melihat reaksi dikalangan rakyat, ramai yang menyambut baik cadangan tersebut. Ada yang menggambarkan ini adalah salah satu langkah permulaan untuk merealisasikan manifesto Pakatan Harapan pra PRU14 yang berjanji kutipan tol akan dihapuskan.

Tidak kurang juga yang mencebikkan bibir dan menyifatkan tindakan mengambilalih 4 konsesi tersebut hanya akan menguntungkan pengguna bandar, sedangkan kos pengambilalihan itu menggunakan wang rakyat dari seluruh pelusuk negara.

Disebalik reaksi yang ditampilkan itu, sewajarnya rakyat meneliti isu negatif jangkamasa panjang yang bakal dihadapi pengguna lebuhraya tersebut apabila ia melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan.

Mac lalu, portal Paultan.org telah menerbitkan satu artikel memetik kenyataan dari Menteri Kerja Raya Baru Bian yang telah mengesahkan kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa jalan Persekutuan di negara ini terpaksa ditunda berikutan kurangnya peruntukan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian telah mengesahkan kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa jalan Persekutuan di negara ini terpaksa ditunda berikutan kurangnya peruntukan.

Menurutnya, kementerian itu tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan berkesan kerana hanya memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta untuk penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara dalam Belanjawan 2019. Di mana sejak 2015, peruntukan penyelenggaraan dikurangkan berbanding keperluan sebenar iaitu kira-kira RM2 bilion setahun, laporan Bernama.

“Sejak 2015, kementerian menerima peruntukan kira-kira RM600 juta hingga RM800 juta setahun. Namun, mulai tahun ini ia dikurangkan kepada RM100 juta,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Walau bagaimana pun, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memohon peruntukan tambahan kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM610 juta bagi menampung keperluan melaksanakan penyelenggaraan jalan raya.

Baru berkata kira-kira 35% daripada 17,771.42 km jalan Persekutuan didapati mengalami masalah ‘crocodile crack’ akibat kurangnya penyelenggaraan mengikut jadual. ‘Crocodile crack’ merujuk kepada keadaan jalan yang rosak akibat rekahan dan retakan pada permukaannya berikutan kekerapan penggunaan oleh kenderaan yang membawa muatan berat.

Antara jalan Persekutuan yang sering mengalami kerosakan serius ialah di jalan Telupid-Sandakan di Sabah dan jalan menuju ke Pelabuhan Klang di Selangor. Kerosakan berpunca daripada volum kenderaan tinggi yang melalui jalan tersebut selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Dalam tempoh 2016 hingga Julai 2018, sebanyak 15,594 aduan awam diterima KKR dengan 50% atau 7,987 adalah berkaitan isu penyelenggaraan jalan.

Dengan panjang keseluruhan jalan persekutuan, 16,742.782km kini yang dilihat membebankan untuk diselenggara di pihak kerajaan, selepas ini ditambah pula dengan panjang keempat-empat konsesi lebuhraya tersebut, 105km ia dilihat tidak sedikit pun akan mengurang beban yang bakal ditanggung kerajaan untuk diselenggara. Malah ia menambahkan beban.

Ketika ini, semua kerja penyelenggaraan lebuhraya terbabit dilaksanakan oleh konsesi yang berkaitan, walau bagaimanapun selepas diambil alih, semua kos akan ditanggung oleh kerajaan yang memerintah.