Annuar Musa Kasihankan PKR, 20 Tahun Berjuang, Akhirnya Tetap Ikut Telunjuk Mahathir

684

REMBAU 5 April – Tan Sri Annuar Musa secara sinis berkata, beliau kasihan dengan penyokong PKR kerana kini terpaksa mengikut telunjuk Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas 20 tahun berjuang menentang pemimpin itu.

Setiausaha Agung UMNO itu mengingatkan PKR bahawa tujuan asal parti itu ditubuhkan pada 1999 adalah untuk menumbangkan Dr. Mahathir yang memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Kabinet.

“Malam ini ada sambutan 20 tahun PKR di Rantau, saya lalu di kawasan itu. Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Tetapi mereka sedar atau tidak mereka sekarang duduk di bawah siapa.

“Dulu tubuhkan PKR nak menentang dasar Dr. Mahathir, nak tumbangkan Dr. Mahathir. Tapi selepas 20 tahun terpaksa ikut telunjuknya. Kesian,” katanya ketika berceramah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Kampung Linsum di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Annuar turut mempersoalkan apa reformasi yang ingin dilakukan oleh PKR selepas berada dalam kerajaan.

“Yang nak direformasikan itu apa? Adakah selepas berkuasa kamu hari ini telah mereformasi diri. Adakah telah bawa kebaikan berbanding sebelum berkuasa,” katanya.

Menurutnya, PKR gagal membawa perubahan yang menjadi agenda perjuangan mereka dan ini turut diakui Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang dulu dikenali sebagai ‘Puteri Reformasi.’

“Dia kata payah nak bekerja dalam kerajaan dengan bekas diktator. Kalau dia sendiri tak puas hati apa reformasi yang hendak dibawa untuk negara,” katanya.