Anwar Yakin Mahathir Tunai Janji, Bakal Jadi PM Dalam Tempoh Kurang 2 Tahun

226

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis dan yakin akan menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kelapan dalam tempoh kurang dua tahun.

Dalam temu ramah bersama Bloomberg Television semalam, Anwar berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berpegang kepada janji untuk melepaskan jawatan itu dalam tempoh ditetapkan.

“Ada perjanjian antara kepemimpinan parti dan bukan antara saya dan Dr. Mahathir sahaja. Dalam perbincangan dengan Dr. Mahathir, saya mahu beliau mentadbir kerajaan secara efektif dan amat penting untuk memberi beliau masa.

“Sudah tentu bukan dalam tempoh lima tahun kerana beliau (Dr. Mahathir) telah me­nyatakan dengan jelas (tempoh peralihan jawatan) tidak akan melebihi dua tahun,” katanya seperti dipetik dalam temu ramah tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan keputusannya memaafkan Dr. Mahathir atas perseteruan lama mereka adalah demi memastikan masa depan negara menjadi lebih baik.

Katanya, kerjasama dengan Dr. Mahathir akan memberi manfaat besar kepada rakyat selain Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga dilihat komited dengan beberapa agenda reformasi PKR.

Selain itu, Anwar turut menzahirkan keyakinan Dr. Mahathir tidak akan melakukan rombakan Kabinet seperti didakwa segelintir pihak dalam media sosial.

“Dr. Mahathir telah memberitahu dengan jelas tidak akan berlaku rombakan Kabinet dan saya berpegang kepada kata-katanya. Secara amnya, beliau perlu berbincang de­ngan kepemimpinan komponen PH sekiranya mahu melakukan rombakan,” katanya.