Apa Takut Sangat Dengan Abu Orang Mati? Allah Bagi Otak Pakai

1050

KUALA LUMPUR – Pihak yang mengungkapkan ‘apa takut sangat dengan abu orang dah mati’ berkaitan isu abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya Chin Peng di bawa masuk ke Malaysia perlu memahami maksud tersurat dan tersirat.

Cucu bekas Ketua Polis Negara ke-3, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Joe Najib berkata, mereka yang menghalang dan membantah kepulangan abu mayat Chin Peng ke Malaysia bukanlah disebabkan takut dengan abu tersebut secara fizikal.

“Kepada mereka yang bodoh dok cerita ‘apa takut sangat dengan abu orang yang dah mati?’, tolong faham sedikit bezanya dari sudut tersirat dan tersurat.

“Ia dipandang dari sudut maruah mereka yang dibunuh dan martabat keluarga. Bukan takut abu tu secara fizikal. Allah bagi otak. Jangan tak pakai,” kata Joe Najib.

Allahyarham Abdul Rahman meninggal dunia selepas ditembak mati oleh dua orang penembak upahan komunis pada tahun 1974.

Joe Najib berkata, beliau tidak mahu pembunuhan datuknya oleh komunis dijadikan alat politik dan digunakan untuk menimbulkan kebencian.

Menurutnya, pergerakan PKM begitu keji hingga menyebabkan pada zaman darurat kedua dari tahun 1974 hingga 1982 seramai 134 anggota keselamatan dibunuh dan lebih 500 cedera.

“Antara yang ditembak mati termasuklah Ketua Inspektor Chin Kou, Detektif Sarjan Chong Kek Oh, Detektif Konstabel Lee See Kaw, Detektif Sarjan Lee Yoon Chin, Detektif Konstabel Ong Soon Chua.

“Ya. Ia bukan semudah Cina lawan Melayu. PKM juga membunuh kaumnya sendiri yang menentang pergerakan dan ideologi komunis mereka,” tulis Joe Najib di Facebook beliau.

Justeru Joe Najib meminta masyarakat mendoakan mereka yang terkorban akibat kekejaman komunis dan tidak mensia-siakan pengorbanan mereka tanpa mengira bangsa dan agama.

Sementara itu, Joe Najib berkata, Allahyarham datuknya mengetahui ancaman komunis yang mahu membunuhnya dan pada hari kejadian Allahyarham Abdul Rahman telah bersedia untuk menandatangani insuran bagi melindungi keluarganya jika sesuatu berlaku ke atas beliau.

“Arwah tahu pada masa itu, memang ada ganjaran atau ‘bounty’ yang ditawarkan oleh pihak komunis kepada sesiapa yang boleh menembak arwah wan sampai mati. Kerana itu arwah telah siap sedia untuk mengambil insurans untuk lindungi keluarga arwah.

“Arwah tak sempat tandatangan kontrak insurans tersebut. Khabarnya kontrak tersebutlah punca arwah menukar halatuju pada awal pagi hari arwah ditembak,” cerita Joe Najib.

Menurut Joe Najib, Allahyarham Abdul Rahman sepatutnya menuju terus dari kediaman ke Federal Hotel untuk menghadiri mesyuarat, tetapi sebaliknya telah mengarahkan ADC (Aide de Camp) untuk pergi dahulu,

Sementara Allahyarham Abdul Rahman terus ke Bukit Aman untuk menandatangani kontrak insuran yang telah diletakkan di atas meja arwah. Namun dalam perjalanan Allahyarham Abdul Rahman telah ditembak oleh dua orang komunis hingga terkorban.-SM