Ayah Saya, Najib Razak vs Kerajaan – Yana

259

Oleh: NOORYANA NAJIB

Saya tidak boleh lupa hari-hari yang berlalu selepas 9 Mei 2018, hari BN kalah pilihanraya umum ke-14.

Pada pagi keesokan harinya, ayah saya membaca surat khabar seperti biasa namun tajuk-tajuk utama muka depan akhbar-akhbar yang satu ketika dahulu mempromosikan visi beliau untuk negara tiba-tiba mengecam dan menghukum beliau sebagai seorang penjenayah walaupun siasatan masih belum bermula.

Beberapa hari selepas itu, beberapa orang dari pihak berkuasa kerajaan telah datang mengetuk pintu rumah kami.

Orang-orang ini adalah dari pihak berkuasa yang dahulunya bertanggungjawab ke atas keselamatan ayah saya namun kini mereka telah diarah untuk menyelongkar rumah kami, menyiasat dan menahan beliau.

Setiap hari beliau dikacau walaupun pada bulan Ramadan.

Apabila beliau keluar dari rumah untuk ke solat Terawikh, ramai anggota pihak berkuasa kerajaan dan orang-orang dengan kamera memerhati beliau dan mengerumuni kenderaan beliau seolah-olah beliau akan lari.

Orang-orang yang dahulunya rapat dengan beliau tiba-tiba menjauhkan diri kecuali beberapa sahabat yang masih setia.

Saya dapat merasakan yang bermula dari pagi 10hb Mei 2018, ayah saya telah menjadi musuh nombor satu kerajaan.

Seluruh keluarga saya pun menerima nasib dan layanan yang sama, walaupun ayah sayalah yang paling berat memikul bebannya.

Setiap jam bagi kami adalah suatu detik yang mendebarkan memikirkan keselamatan ayah dan keluarga kami, dan adakah orang akan datang menyelongkar rumah kami lagi atau menangkap ahli keluarga kami.

Namun di dalam ketidaktentuan ini, ayah saya perlu cepat menyesuaikan diri dengan kehidupan baru ini.

Untuk pertama kali dalam tempoh 40 tahun, tiada jadual harian sepanjang dua mukasurat atau kertas kabinet dan deraf ucapan diletak di atas meja sarapan pada waktu pagi untuk beliau.

Dan untuk pertama kali dalam hidup saya, saya tidak nampak sut dan tali leher ayah saya digantung di luar biliknya pada awal pagi dinihari.

Namun kini beliau berkelapangan untuk pergi membeli barangan dapur dan keperluan harian untuk kami sekeluarga, singgah di kedai buku, minum di kedai kopi dan membawa anak kecil saya dan cucunya Adam bersiar-siar.

Dan buat pertama kali dalam tempoh 40 tahun, ayah saya dapat menikmati masa lapangnya seperti orang lain.

Satu hari kami telah pergi ke Bazar Ramadan di Keramat.

Ketika membeli apam balik di sebuah gerai, seorang mak cik yang mengenali ayah saya telah menyapa beliau, “Dato, saya sokong BN. Saya amat sedih bila BN kalah”.

Dan tiba-tiba ramai orang kerumun ayah saya untuk bersalaman dengan beliau.

Mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN kerana telah membantu rakyat yang susah dengan bantuan seperti BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia, UTC dan lain-lain.

Senyuman dan kemesraan mereka memberikan ayah saya kekuatan dan semangat untuk terus membantu rakyat terutama orang susah, walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan kerajaan.

Walaupun sejak kecil saya hanya memerhati dari jauh perkembangan politik ayah saya, saya sentiasa tahu yang sifat tenang beliau telah membantu beliau mengharungi banyak cabaran dan dugaan.

Saya juga kagum dengan sifat sabar dan tidak mudah mengalah yang ada pada ayah saya dalam menghadapi masa yang sukar.

Beliau nekad untuk membersihkan nama beliau dan terus berjuang untuk menambahbaik kehidupan rakyat.

Bagi ayah saya, kuasa dan jawatan datang dan pergi. Namun membantu orang yang memerlukan adalah perjuangan yang perlu diteruskan selagi hayat dikandung badan.

Semasa saya kecil, saya pernah bertanya mengapa ayah saya tidak seperti bapa-bapa orang lain?

Mengapa beliau tidak pernah mengambil saya dari sekolah?

Mengapa beliau tidak pernah membawa saya melihat tayangan di panggung wayang?

Dan mengapa beliau tidak datang ke semua konsert sekolah saya?

Saya pernah terfikir yang pekerjaan sebagai ahli politik ini mungkin bukan pekerjaan yang mudah.

Sebelum ini, beliau tidak pernah ada banyak masa lapang.

Semasa saya berumur 10 tahun, saya pernah bertanya kepada beliau, “Mengapa perlu jadi ahli politik? Mengapa tidak pengurus atau ahli perniagaan atau akauntan seperti bapa orang lain? Bukankah kerja itu lebih mudah?”

Dengan tenang ayah saya menjawab, “Jika ayah seorang pengurus atau ahli perniagaan, betul kita boleh hidup seperti orang lain. Tetapi sebagai ahli politik, ayah boleh bantu mengubah kehidupan dan nasib jutaan orang. Fikirkan kebaikan yang kita boleh buat kepada orang lain.”

Baru-baru ini, selepas 21 tahun dan selepas kita kalah pilihanraya, saya terfikir adakah hatinya masih sama seperti dahulu lalu saya bertanya, “Adakah ayah masih mahu berjuang? Fikirkan apa yang mereka akan buat kepada ayah, kepada keluarga dan kepada penyokong-penyokong ayah?”

Ini kerana beberapa rakan beliau telah berpaling tadah kepada kerajaan selepas pilihanraya, mungkin kerana mereka takut pemimpin kerajaan yang baru akan membalas dendam dan mengambil tindakan ke atas mereka.

Jawapan ayah saya ialah, “Ingat Rasulullah dahulu semasa baginda dikecam dan diduga baginda terus berjuang tanpa mengalah walau dengan hanya beberapa pengikut setia sahaja.

“Ayah tahu ianya adalah sukar. Namun ayah mahu bersama-sama rakyat di kala mereka juga diduga dengan realiti Malaysia Baru hari ini yang susah dan tidak seperti yang disangka.

“Di kala kesusahan ini, mereka perlu seseorang yang akan mendengar masalah dan rungutan mereka, seseorang yang bersuara untuk mereka dan memberitahu mereka bahawa keadaan masih boleh diselamatkan dan kita masih boleh berbuat sesuatu untuk membantu.”

Saya mahu percaya yang ayah saya akan mendapat perbicaraan yang adil.

Namun saya bukan lagi anak kecil yang mentah untuk mempercayai perkara ini.

Ramai orang yang mengikuti perkembangan kes ayah saya mempersoalkan sama ada ada pihak-pihak berkepentingan yang campurtangan dalam siasatan dan proses undang-undang berkenaan pertuduhan ke atas ayah saya.

Mungkin mereka ada sebab-sebab munasabah untuk berfikir begitu.

Pertuduhan asal telah diubah oleh pihak pendakwaan sebanyak dua kali dan tiga pertuduhan baru telah dikenakan ke atas ayah saya hanya sepuluh hari sebelum perbicaraan bermula.

Walaupun demikian, pihak kerajaan berkeras tidak mahu mengubah tarikh perbicaraan dan memberi masa kepada ayah saya dan peguam beliau untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi tuduhan-tuduhan baru dan diubah tersebut.

Dan peguam utama ayah saya juga telah dikenakan pertuduhan oleh kerajaan.

Ini tentunya mengambil banyak masa peguam utama tersebut yang sepatutnya digunakan untuk persediaan kes ayah saya.

Baru-baru ini ayah saya mendapat semakin banyak sokongan rakyat.

Posting-posting Facebook beliau mendapat jutaan aktiviti daripada rakyat setiap minggu.

Beliau kini dilihat sebagai seorang pembangkang yang amat berkesan dalam menyemak imbang kerajaan.

Saya khuatir yang matlamat kerajaan dalam pertuduhan dan perbicaraan ini adalah bukan untuk menegakkan keadilan, namun untuk menghapuskan suara ayah saya sebagai seorang pembangkang yang lantang.

Pemimpin-pemimpin kerajaan telah menyatakan bahawa kesinambungan pemerintahan mereka bergantung kepada hukuman ke atas ayah saya.

Oleh itu kerajaan dan pihak pendakwaan akan cuba sedaya upaya mereka untuk menghukum ayah saya.

Pada sembilan bulan kebelakangan ini, mereka telah tidak dapat mematahkan perjuangan ayah saya.

Mungkin inilah peluang mereka.

Mereka akan menggunakan semua instrumen yang ada, daripada saluran media kerajaan kepada saluran politik, untuk mencemarkan imej ayah saya supaya mudah mereka menjatuhkan hukuman bersalah ke atas beliau.

Mereka telah melontarkan 42 pertuduhan ke atas ayah saya.

Dan hanya satu sahaja pertuduhan perlu lekat atas alasan teknikal untuk mereka menutup mulut ayah saya, pembangkang yang paling kuat mengkritik kerajaan.

Saya tidak tahu apa akan jadi kepada ayah saya selepas perbicaraan ini.

Adakah beliau mampu terus bersabar dan bertahan?

Saya tahu setiap saat ayah saya berada di dalam kandang tertuduh, beliau akan memikirkan tentang keluarganya, sahabat-sahabatnya, penyokong-penyokongnya, dan rakyat yang sentiasa di hati beliau.

Anda adalah sumber kekuatan dan semangat ayah saya.

Doa anda akan membantu beliau dalam mengharungi onak dan duri ini.

Berdirilah bersama beliau ketika ayah saya menghadapi cabaran yang terbesar dalam hidupnya ini.

NOORYANA NAJIB
11 Februari 2019