Penularan Video Semburit Mirip Dirinya : Azmin Ali Ucap Terima Kasih

725

SHAH ALAM – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan dirinya tabah dan tenang walaupun berdepan dengan fitnah membabitkan penularan video intim yang dikaitkan dengannya sejak kelmarin.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyatakan sokongan dan mendoakan keselamatan dirinya.

“Terima kasih kepada terlalu ramai rakyat, kenalan, sahabat, keluarga dan pimpinan yang menyatakan sokongan kepada saya dan mendoakan keselamatan saya dalam keadaan gelombang fitnah sedang melanda saya dan keluarga. Saya sabar, tabah dan tenang,” katanya menerusi Facebooknya malam tadi.

Isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin turut menasihatkan suaminya untuk bertawakal, takwa dan sabar menanti petunjuk, perlindungan dan ganjaran ALLAH dalam menghadapi fitnah.

Mohamed Azmin melalui kenyataan medianya semalam menjelaskan tuduhan tersebut bersifat jahat dan kejam.

Malah katanya, fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Mohamed Azmin juga yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat itu.

Hari ini, Setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham membuat membuat laporan qazaf di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung penyebaran satu video berkenaan.

Laporan qazaf itu adalah merupakan tindakan susulan yang dibuat selepas satu laporan polis dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Menurut Hilman, kedua-dua laporan itu dibuat agar membolehkan kertas siasatan dibuka terhadap penyebaran video tersebut.