Bayi Masih Bertali Pusat Dibuang Di Depan Rumah

297

KUALA LUMPUR 17 April – Seorang wanita terkejut apabila menjumpai bayi perempuan yang dibalut dengan kain batik dan masih bertali pusat bersama uri di hadapan rumahnya di Taman Desa Kundang, Rawang, dekat sini hari ini.

Bayi tersebut ditemukan oleh anak pengadu pada pukul 10.50 pagi sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pengadu yang ketika itu sedang bekerja di Kepong, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pengadu kemudian pulang ke rumah pada pukul 12.20 tengah hari dan melihat bayi perempuan tersebut diletakkan di hadapan pintu rumahnya.

“Pengadu terus membuat laporan polis dan bayi tersebut kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

“Sehubungan itu, kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.