Bekas Ahli DAP Kontroversi Dilantik CEO Majlis Perniagaan China-Malaysia

96

PETALING JAYA: Seorang bekas ahli DAP yang mencetuskan kontroversi apabila mengisytiharkan Laut China Selatan milik China dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC) berkuatkuasa 1 Februari.

Pelantikan Hew Kuan Yau itu diumumkan oleh Pengerusi Tan Kok Wai, yang juga duta khas ke China dan pengerusi DAP.

MCBC, yang diperbadankan daripada Majlis Perniagaan Bersama China-Malaysia (JBC), berperanan sebagai penyedia khidmat nasihat dan maklumat perniagaan untuk usahawan Malaysia di China dan usahawan China di negara ini.

JBC ditubuhkan oleh agensi kerajaan China, Majlis China untuk Promosi Perdagangan Antarabangsa (CCPIT) dan satu entiti tempatan pada 2002.

“Pelantikan Hew sebagai CEO adalah untuk mengalakkan lagi perniagaan MCBC, mengukuhkan kerjasama perniagaan antara Malaysia dan China untuk memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara,” kata Tan dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata Hew seorang pakar tentang China kerana mempunyai pengalaman pengurusan perniagaan di ngara itu, dan pernah belajar di Guangzhou dan Hong Kong dan mempunyai ijazah kedoktoran dari Universiti Cina Hong Kong.

“Hew seorang calon yang kompeten untuk jawatan itu kerana dia memahami diplomasi antarabangsa, memandangkan pengalaman dan penglibatannya dengan Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa,” katanya.

Media melaporkan Hew dituduh tidak patriotik kerana mengisytiharkan Laut China Selatan milik China dalam satu kiriman di Facebook pada Julai 2016, ditengah-tengah pertikaian antara negara komunis itu dan negara-negara Asean termasuk Malaysia.

Laut China Selatan antara punca ketegangan di rantau ini apabila China menuntut sebahagian besar lautan itu.

Hew mengumumkan keluar DAP berkuatkuasa serta merta kerana kontroversi itu.Hew ketika dihubungi FMT berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas Tahun Baru Cina bulan depan mengenai rancangan masa depannya untuk MCBC.

“Saya dimaklumkan mengenai pelantikan itu pagi tadi dan akan mengeluarkan kenyataan apabila saya memasuki pejabat itu selepas Tahun Baru Cina,” katanya.Dia juga dikenali sebagai “Superman” kerana memakai pakaian berlambangkan adiwira komik itu, dan terkenal dengan ucapan-ucapan yang lantang.