Bekas Pemain Arsenal, Reyes Maut Dalam Kemalangan

145

Bekas pemain Arsenal dan skuad kebangsaan Sepanyol, José Antonio Reyes disahkan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Berita buruk itu diumumkan sendiri oleh bekas kelab dimana karier profesional Reyes bermula, Sevilla melalui satu kenyataan sebentar tadi.

“Kami hanya boleh mengesahkan berita buruk. Pemain kesayangan Sevilla, Jose Antonio Reyes maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Damailah di sana,” ujar kenyataan tersebut melalui akaun Twitter rasmi kelab tersebut.

Tidak ada maklumat lanjut disampaikan oleh Sevilla selepas itu.

Reyes kini berusia 35 tahun beraksi bersama Extremadura, kelab yang beraksi di divisyen kedua piramid bola sepak Sepanyol, Segunda Division.

Karier bola sepak Reyes termasuklah tempoh selama lapan tahun bersama Sevilla, sebelum turut pernah menyarung jersi Atletico dan juga Real Madrid.

Dikenali sebagai seorang pemain sayap yang lincah, Reyes juga merupakan salah seorang anggota skuad Arsenal yang muncul juara tanpa tewas pada musim 2003-04.

Bersama Sepanyol, Reyes tampil dalam 21 perlawanan dan menjaringkan 4 gol untuk negaranya diantara tahun 2003 sehingga 2006.