Benarkah Desakan Supaya Tun M Meletak Jawatan Bukan Pandangan DAP?

174

Penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusof menulis;

BENARKAH DESAKAN SUPAYA TUN DR MAHATHIR MELETAKKAN JAWATAN BUKAN PANDANGAN DAP?

Marah sekali nampaknya Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Ahli-Ahli Jawatankuasa ARMADA BERSATU Malaysia ke atas kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau, yang mendesak supaya Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, membidas sekeras-kerasnya kenyataan Dr Boo Cheng Hau, menuntut Dr Boo Cheng Hau meminta maaf secara terbuka terhadap Tun Dr Mahathir sambil mengingatkan supaya teguran dibuat “biarlah beradab dan melalui saluran yang sewajarnya”.

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Ulya Aqamah Husamudin, menyebut ARMADA Bersatu Malaysia mengecam sekeras-kerasnya “kenyataan yang biadab dan tidak bertanggungjawab ini” serta menuntut Dr Boo Cheng Hau meminta maaf kepada Tun Dr Mahathir.

Ahli Jawatankuasa ARMADA BERSATU Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, pula lebih lantang lagi bersuara dengan menyifatkan kenyataan Dr Boo Cheng Hau sebagai ‘kenyataan bodoh’ serta mencadangkan beliau “angkat kaki dari PH dan boleh sertai MCA” atau beliau “sarankan perletakan jawatan seluruh menteri DAP”.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa ARMADA BERSATU Malaysia, Mohd Fahim Mohd Farid, juga “mengecam sekeras-kerasnya kenyataan tidak bertanggungjawab dan dangkal daripada Dr Boo Cheng Hau” selain mendesak beliau “menarik balik kenyataan dan memohon maaf kepada semua kepimpinan Pakatan Harapan”.

Di pihak DAP pula, setakat ini hanya Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, yang, setelah dihadapkan dengan kritikan dari pemimpin-pemimpin BERSATU ini, memberikan maklum balas dengan menyifatkan kenyataan Dr Boo Cheng Hau sebagai “dangkal dan tidak mewakili pandangan parti DAP”.

Bagaimanapun, kenyataan Sheikh Umar ini tidaklah begitu membantu menjernihkan keadaan kerana kenyataan ini dibuat terlalu lewat setelah pemimpin-pemimpin BERSATU meluahkan kemarahan mereka terlebih dahulu dan kerana Sheikh Umar sendiri bukanlah pemimpin tinggi DAP yang kenyataan beliau boleh diterima sebagai autoritatif.

Apatah lagi bila penjelasan yang cuba diberikan oleh Sheikh Umar, iaitu bahawa kenyataan Dr Boo Cheng Hau tidak mewakili pandangan parti DAP, juga boleh dipersoalkan kesahihannya kerana jika benar kenyataan Dr Boo Cheng Hau tidak mewakili pandangan parti DAP mengapakah pula kenyataan begini boleh disiarkan oleh laman web rasmi DAP?