Berita Gembira Tol : Menteri Kerja Raya Nafikan Pengumuman Dibuat Muhyiddin?

608

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu kenyataan yang dikeluarkan beliau ketika menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Kampung Batu 26, Beranang di sini, menyatakan bahawa Kerajaan dijangka mengumumkan berita gembira berkaitan tol lebuh raya dalam tempoh terdekat.

HULU LANGAT: Kerajaan dijangka mengumumkan berita gembira berkaitan tol lebuh raya dalam tempoh terdekat.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberitahu, perkara itu sedang dibincangkan Kabinet.

“Kita baru-baru ini ada berbincang mengenai isu tol dan mungkin dalam sehari dua ini, akan ada kenyataan mengenai tol.

“Saya tidak boleh nak cakap lebih mengenai perkara itu, biarlah menteri berkaitan yang membuat pengumuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Kampung Batu 26, Beranang di sini, malam ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, PH menerusi manifestonya berjanji akan menghapuskan tol secara berperingkat.

Sementara itu, Muhyiddin sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan PH mendukung prinsip Perlembagaan Persekutuan terutama membabitkan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam.

“Ada pihak mendakwa kerajaan PH tidak menjaga hak istimewa orang Melayu. Sekali lagi saya mengulangi bahawa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan terutama membabitkan orang Melayu tidak sesekali tergugat,” katanya. –Msentral

Muhyiddin dipetik menggambarkan kenyataan berkaitan perkara itu akan dikeluarkan dalam tempoh sehari dua lagi.

Kenyataan panas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkaitan berita gembira mengenai tol lebuh raya mendapat pelbagai reaksi dikalangan rakyat.

Ada yang memandang sinis dan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan itu tidak lebih sekadar mahu memancing undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Ada juga yang memperlihatkan kegembiraan, kononnya sirna manifesto Pakatan Harapan pada PRU14 lalu berkaitan penghapusan tol mula kelihatan akan dizahirkan oleh kerajaan.

Namun begitu, kenyataan balas yang dikeluarkan Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari ini menggambarkan sebaliknya apabila memaklumkan kepada media bahawa kajian berhubung perkara tersebut masih sedang dilakukan oleh perunding bebas dan dijangka siap hanya pada Mei tahun ini dan bukan dalam tempoh sehari dua sepertimana yang diumumkan Muhyiddin.

Utusan Online melaporkan;

SIBU 22 Feb. – Kajian yang dijalankan oleh perunding bebas mengenai isu tol di negara ini masih berjalan dan dijangka siap hanya pada Mei, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata apabila dikemukakan, hanya kerajaan akan membuat keputusan muktamad berhubung rancangan masa depan mengenai isu tol.

Beliau berkata dalam pada itu, satu atau dua syarikat pemegang konsesi tol telah mengemukakan cadangan tertentu yang boleh dilaksanakan buat sementara.

“Malah kita sedang mengkajinya dalam jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Terdapat beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu dalam jangka pendek.

“Ini adalah perkara-perkara yang saya fikir dirujuk oleh Tan Sri Muhyiddin. Bukan keseluruhan isu tol,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis pelantikan anggota jawatankuasa cabang PKR zon tengah Sarawak.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau diminta mengulas ucapan presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa ceramah bagi pilihan raya kecil DUN Semenyih malam tadi yang membayangkan bahawa Kabinet mungkin membuat pengumuman mengenai tol dalam masa terdekat.

Beliau dipetik sebagai berkata bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mengeluarkan kenyataan mengenai tol dalam sehari dua ini.

Baru berkata antara cadangan baik yang ditawarkan oleh syarikat konsesi adalah pengurangan kadar tol semasa musim atau masa tertentu, yang sedang dikaji oleh kerajaan.

Sementara itu, Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak berkata majlis kepimpinan negeri akan mencari jalan dan cara untuk membantu semua cawangan membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang beliau meramalkan diadakan seawal pertengahan tahun depan.

Bersama dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, Baru berkata mereka harus bekerjasama secara senada kerana peluang untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada Gabungan Parti Sarawak adalah cerah kali ini.- BERNAMA

Dengan kenyataan yang dibuat oleh Baru Bian ini, secara tidak langsung telah menafikan secara total pengumuman yang dibuat Muhyiddin ketika berceramah di PRK Semenyih.