Berita Gembira Untuk Penjawat Awam, CUEPACS Tuntut Kerajaan Semak Semula Elaun

1075

PETRA JAYA: Kerajaan perlu menyemak semula elaun wilayah dan elaun perumahan bagi penjawat awam, berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Zainal Ismail, berkata pihaknya mahu semakan dibuat sebelum pembentangan Belanjawan 2020.

Beliau berkata, kadar elaun wilayah dan elaun perumahan yang diterima penjawat awam ketika ini tidak lagi munasabah dengan keadaan semasa.

“Sebab itu CUEPACS mahu ia disemak secepat mungkin kerana kadar yang diterima ketika ini sudah tidak lagi sesuai.

“Kali terakhir semakan dibuat pada 2012 dan 2013,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof, di sini, hari ini.

Zainal berkata, Pakatan Harapan (PH) sewajarnya mempertimbang permintaan CUEPACS itu selepas lebih setahun membentuk kerajaan baharu.

“Kepada siapa lagi kami hendak meminta sesuatu demi kebajikan penjawat awam, jika bukan kepada kerajaan.

“Sebagai kakitangan awam, kami bersedia berkhidmat untuk rakyat walaupun berlaku pertukaran kerajaan,” katanya.

Mengenai kenaikan pangkat penjawat awam secara ‘time-based’, Zainal berkata, CUEPACS mahu ia dipendekkan kepada 10 tahun, berbanding 13 tahun dan 15 tahun ketika ini.

“CUEPACS sudah menyuarakan perkara ini pada Majlis Mesyuarat Kebangsaan baru-baru ini dan memohon kerajaan memberi perhatian sewajarnya kepada kenaikan pangkat secara ‘time-based’ ini kerana tempoh 13 tahun sekarang terlalu lama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, CUEPACS juga mahu kerajaan memberi perhatian kepada penyelenggaraan aset dan fasiliti yang disediakan untuk penjawat awam.