“Bila Ultra Kiasu Melayu Jadi Barua Ultra Kiasu Sebenar…” – Ridhuan Tee

685

Bila ultra kiasu Melayu jadi barua ultra kiasu sebenar

Berpada dalam berpolitik, jangan melampau hingga lupa maruah

ULTRA kiasu Melayu mengatakan Setiausaha Agung parti ultra kiasu, menawarkan diri untuk melepaskan jawatan sebagai menteri kanan asalkan Tun M sebelum ini kekal sebagai Perdana Menteri.

Ultra kiasu Melayu itu turut berkata, ultra kiasu ini, yang juga Setiausaha Agung parti ultra kiasu, juga bersedia mengurangkan jumlah menteri ultra kiasu dalam Kabinet baharu, jika diberi peluang sekali lagi.

Baru kamu sedar, sebelum ini, kenapa kamu tidak berbuat demikian? Kamu terlalu ultra kiasu. Berlagak sungguh, lelaki perempuan ultra kiasu sama naik.

Kamu tuntut kerusi Kabinet mengikut kerusi yang banyak kamu menangi. Masa itu, kamu tidak sedar langsung akan sensitiviti orang Melayu. Yang kamu tahu, kiasu…kiasu…kiasu, sampai ultra.

Macam-macam kamu buat melalui pintu belakang. Termasuk bantuan demi bantuan kepada institusi pendidikan Cina yang tidak selayaknya mereka perolehi. Kamu mahukan UEC diiktiraf, pada masa sama kamu tentang jawi. Hak orang Islam, yang lebih berhak, kamu tak jaga. Kamu terlebih jaga, kaum sendiri sahaja.

Akhirnya, yang untung orang kamu, orang lain, terutama orang Islam dan Bumiputera, terasa disisihkan, berada di pihak yang rugi, sedangkan hak mereka dijamin Perlembagaan.

Sejak dahulu, aku dah kata, sikap terlalu ultra kiasu akan menimbulkan masalah kepada negara ini. Tetapi kamu tidak endahkan nasihat aku. Kamu tuduh aku lebih Melayu daripada Melayu. Baru sekarang nak sedar? Kamu tidak pernah rasa cukup. Sentiasa nak lebih, ultra kiasu.

Jika berpada-pada kiasunya, dah tentu orang Melayu tidak marah. Kalau sekadar kiasu dalam perkara kebaikan, seperti persaingan dalam ekonomi. Ia sudah berlaku sejak dahulu lagi. Tidak timbul masalah.

Tetapi, kamu mahu semua sekali. Tidak cukup dengan ekonomi, kamu mahu lebih kuasa. Tidak cukup dengan lebih kuasa, kamu mahukan pendidikan yang terlalu kecinaan dan macam-macam lagi.

Pendek kata, kamu mahu menang dalam semua perkara. Semua masalah ini berpunca daripada kamu, yang tidak pernah puas. Diberikan betis, kamu mahu peha. Kamu seperti kaduk naik junjung.

Sudah tentu semua masih ingat, dua minggu lalu, selepas Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri berikutan krisis politik yang melanda negara, Yang di-Pertuan Agong memanggil kesemua anggota Parlimen untuk mengetahui sokongan mereka kepada bakal Perdana Menteri baru.

Mulanya kamu memberitahu YDPA bahawa kamu mahukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM, setelah tidak dapat menerima rancangan Tun M untuk menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa memihak parti politik.

Bagaimanapun, keadaan ini menyebabkan tiada siapa yang mempunyai majoriti mudah dalam Dewan Rakyat.

Ini membawa kepada Bersatu, UMNO dan PAS, bersama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM.

Setelah perancangan kamu ultra kiasu gagal, untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai PM, kamu u-turn dengan menyokong Tun M, yang sebelum ini, kamu kutuk bukan main rapat.

Hipokrit sungguh drama kamu, kejap u-turn, kemudian kejap lagi u-turn, bila kamu tahu nasib tidak menyebelahi kamu.

Kini, kamu ultra kiasu merancang untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap TSMY di Dewan Rakyat.

Parlimen yang sepatutnya bersidang pada hari ini artikel ini ditulis, ditangguhkan sehingga 18 Mei selepas perubahan kerajaan.

Kepada ultra kiasu Melayu yang terlalu kemarukkan kuasa, yang kini, sudah kehilangan kerusi empok menteri, ingatan aku kepada kamu;

Pertama, berpada-padalah dalam berpolitik. Jangan melampau. Sanggup usung ultra kiasu sana sini dengan mengenepikan saudara seagama. Apa kamu dapat dengan menggadaikan semua maruah ini?

Sedarkah kamu, kamu bukan siapa siapa sebelum menyertai PAS. Setelah PAS angkat kamu, maka kamu mula dikenali, sehinggalah bergelar wakil rakyat.

Sekiranya, PAS tidak kutip kamu, PAS tidak angkat kamu, sudah tentu, kamu sekarang ini hanya marhaen biasa. Tidak siapa kenal dan pedulikan kamu, kecuali kamu berkahwin dengan artis.

Namun, bila kamu telah kuat, ultra kiasu sokong kamu, maka kamu ambil keputusan keluar daripada PAS. Tak cukup dengan itu, kamu hentam PAS, bukan mahu membalas budi PAS yang mengangkat kamu. Siapa kamu tanpa PAS?

Sebab itulah, bila sebut perkataan pengkhianat yang disebut oleh seorang menteri yang dahulunya bersifat mujahid bertukar menjadi mujahat, dia tidak jumpa perkataan yang lebih sesuai melainkan pengkhianat. Siapa sebenarnya pengkhianat? Cermin kembali muka masing-masing.

Kedua, kepada bekas menteri muda, tak usahlah berlagak seperti lembu suci. Macamlah diri sendiri itu bersih sangat. Asyik pukul rata tuduh UMNO rasuah, kleptocrat dan macam-macam lagi label kamu beri.

Kamu tahu tak, ramai lagi orang UMNO yang baik, tidak rasuah.

Mereka yang dituduh rasuah, masih lagi belum dibuktikan bersalah. Tunggulah sehingga mahkamah jatuhkan hukum.

Satu lagi, kamu tidak sedar, atau tidak tahu bahawa manusia boleh berubah, insaf dan bertaubat.

Selepas kalah dalm PRU-14 yang lalu, saya tengok ramai pemimpin UMNO yang mula sedar dan bertaubat. Jauh berbeza berbanding dahulu. Berilah mereka peluang untuk membetulkan kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Allah SWT membuka ruang untuk hambaNya bertaubat. Kenapa kamu asyik bersangka buruk. Kamu ini baik sangatkah? Tak usahlah berlagak seperti lembu suci.

Ketiga, saya mohon kepada ultra kiasu Melayu tegar ini. Beri peluang kepada PM yang baharu, TSMY, untuk membuktikan bahawa beliau mampu membawa negara ini ke tahap yang lebih berbaik berbanding sebelumnya.

Saya amat yakin dengan pengalaman dan hikmah beliau. Jangan buat kerja sia-sia untuk menjatuhkan beliau bersama ultra kiasu yang amat jelas anti-Islam dan anti-Melayu, untuk menjatuhkan PM, saudara seagama.

Keempat, kepada ultra kiasu Melayu berdarah raja, bekas timbalan menteri, bukan main panjang lagi menulis dalam web ultra kiasu mengutuk PM, UMNO dan PAS kerana ‘merampas kuasa’ ikut pintu belakang katanya.

Habis itu, masa kamu nak kahwin dua dengan artis dahulu, guna berapa pintu. Pintu depan ke pintu belakang.

Kalau masih tak faham selok-belok politik, mari saya ingatkan, kerajaan masih boleh berfungsi walaupun tanpa menteri. Menteri atau orang politik datang dan pergi. Perkhidmatan awam tetap kekal menjalankan tugasnya, seperti kami.

Selama ini pun, adanya menteri, bukan banyak membantupun, bukan cerdik sangat pun, menyusahkan lagi ada. Perkhidmatan awam semua yang buat kerja.

Cuba kamu fikir, menteri tanpa warga perkhidmatan awam. Apakah akan jadi dengan negara ini. Menteri yang dilantik, kadangkala bukan pun pakar dalam bidang. Kelulusan tidak sesuai dengan jawatan menteri yang dilantik.

Sebab itu, tidak usah bimbanglah bekas timbalan menteri ultra kiasu Melayu ini, kalau menteri Kabinet belum dilantik oleh PM.

Kerajaan akan berfungsi seperti biasa. Tanpa menteri pun harga minyak petrol sudah pun turun. Banyak pulak turunnya.

Berbanding dengan adanya menteri ultra kiasu, harga petrol tak juga turun-turun seperti dijanji. Naik ada, turun sikit sangat. Janji dahulu nak turunkan sampai RM1.50. Mana janji itu?

Akhirnya, ingatan saya kepada Melayu ultra kiasu, kamu kata ikut pintu belakang salah. Kamu ikut pintu depan, tetapi kamu buat salah. Mana lebih hodoh. Ikut pintu depan atau pintu belakang?

Jika dengan ikut pintu belakang, boleh diperbetulkan kesalahan yang dibuat oleh orang yang masuk ikut pintu depan, maka pintu belakang itu jauh lebih baik daripada pintu depan.

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
09 Mac 2020