Bung Mokhtar Calon PM?

670

Mungkin kerana terlalu bosan diasak wakil media tentang siapakah yang bakal menjadi perdana menteri, kesempatan itu diambil seorang wakil rakyat dari Sabah mencalonkan dirinya untuk posisi tersebut.

Ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memuat naik perkongsian foto dipetiknya dari sebuah portal secara berseloroh mencalonkan dirinya untuk mengisi jawatan tersebut kepada pihak media.

“Terlalu sukar untuk mencari siapa yang dicalonkan menjadi PM, maka saya cadangkan nama saya sendiri untuk jadi PM,” tulis Bung di hantaran Instagramnya.

Pelbagai reaksi diberikan para pengikutnya, kebanyakan merasakan posisi tersebut terlalu tinggi untuk diisi Bung sebaliknya jawatan terbaik adalah berkhidmat sebagai ketua di negeri sendiri.

“Kelakar betul Datuk Bung ni. Jika jawatan CM (Ketua Menteri) kami calonkan Datuk Bung paling sesuai,” kata Habidin80.

Di kalangan yang lain, ramai juga bersetuju dengan cadangan itu yang dikatakan pertama kali dalam sejarah sekiranya beliau diangkat sebagai Perdana Menteri sekalipun ia hanya gurauan.

“Terbaik Datuk. Pertama kali made in Sabah,” tulis Kaganglipoli.

Namun di sebalik pujian dan sokongan pengikut, ada di antaranya dengan tegas menasihati agar cadangan pemilihan pemimpin dibuat daripada kalangan mereka yang tidak terpalit dengan kes mahkamah.

“Jangan cadang nama-nama yang terpalit dengan kes mahkamah. Nanti takut hilang kepercayaan rakyat lagi,” tulis Edabinafsha pula.

Apa papun cadangan, para pengikut dilihat menyokong beliau dan berharap keutamaan diberikan dari segi pembangunan infrastruktur seperti jalan dan masalah bekalan air dapat diselesaikan di negeri Sabah.

Foto jam 5.48 petang semalam itu dipercayai dirakam sewaktu pertemuan Bung dengan pihak media di Istana Negara selepas beliau bersama ahli parlimen seluruh negara dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.