Chelsea Juara, Arsenal Dibelasah 4-1

92

BAKU 30 Mei – Eden Hazard meledak dua gol dalam penampilan terakhir bersama Chelsea untuk membantu pasukan itu menjulang gelaran Liga Europa selepas membenam Arsenal 4-1 di Stadium Olympic Baku, sebentar tadi.

Aksi kedua-dua pasukan seimbang pada separuh masa pertama, namun Chelsea menjadi lebih agresif sebaik sahaja babak kedua bersambung apabila meledak empat gol.

Olivier Giroud mengecewakan bekas pasukannya apabila membuka jaringan Chelsea pada minit ke-49.

Hazard kemudian mencipta gerakan gol kedua Blues yang disempurnakan Pedro pada minit ke-60.

Perancang utama Belgium itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid memahat nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-65, diikuti gol keempat pasukannya di minit ke-72.

Selepas tujuh tahun menyarung jersi Chelsea, ini adalah cara paling sempurna buat Hazard, 28, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Blues.

Bagi Arsenal, kekalahan ini menghancurkan impian mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan selepas sekadar menutup kempen Liga Perdana Inggeris di tangga kelima.

Jaringan Alex Iwobi pada minit ke-69 gagal menaikkan semangat anak-anak buah Unai Emery, malah memanjangkan penantian Gunners untuk membawa pulang trofi Eropah pertama selepas 25 tahun menanti. – AGENSI