Co-Opbank Pertama Bantu Peluang Kerja Mangsa Dipukul Bapa

357
Dari kanan, Mohamad Fazuan Nordin, abang mangsa, Fuad Shaari, ayah saudara mangsa, Tuan Haji Kamari Zaman, Pengerusi Eksekutif CBP, Tuan Haji Mohd Nor Abd Razak, Ketua Pegawai Eksekutif CBP dan pegawai-pegawai kanan CBP.

Co-opbank Pertama (CBP) pada Jumaat lalu telah mengadakan lawatan ke atas keluarga mangsa yang cedera dipukul kerana masih belum mendapat tawaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian seperti dilaporkan media pada 5 Mac 2019.

Lawatan ini bagi melahirkan rasa simpati dan keprihatinan CBP turut disertai oleh Pengerusi CBP, Tuan Haji Kamari Zaman Bin Juhari serta Ketua Pegawai Eksekutif CBP sendiri, En Mohd Nor Abd Razak.

Dalam lawatan ini, CBP juga telah memberi sumbangan kewangan kepada waris mangsa bagi meringankan beban kos perubatan.

“CBP amat bersimpati dengan insiden yang berlaku serta mendoakan agar mangsa segera sembuh. Kami bersedia untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada mangsa sekiranya mangsa berminat dan ia tertakluk kepada prosedur yang sedia ada.” Kata En Mohd Nor Abd Razak, Ketua Pegawai Eksekutif CBP.

“Mangsa merupakan seorang lepasan ijazah sarjana muda perakauanan dari sebuah universiti awam dan berdasarkan pencapaian akademik beliau, saya percaya beliau mempunyai potensi yang besar untuk menjadi seorang pekerja yang cemerlang. CBP juga mempunyai cawangan di Taiping dan Nibong Tebal yang berhampiran dengan rumah mangsa, sekiranya beliau ingin berkhidmat dengan CBP. Ini secara tidak langsung memudahkan beliau untuk berada dekat dengan keluarga beliau.” Tambah Hj Kamari Zaman Juhari, Pengerusi CBP.

Terdahulu, mangsa telah ditawarkan peluang pekerjaan di Kuala Lumpur tetapi atas nasihat keluarga, mangsa tidak menerima tawaran tersebut kerana lokasi berjauhan dengan rumah mangsa bagi memudahkan beliau untuk menguruskan urusan keluarga memandangkan ibu mangsa telah meninggal dunia pada tahun 2010.

Mangsa mempunyai 4 adik-beradik dan merupakan anak perempuan tunggal. Kehadiran rombongan CBP ke rumah mangsa mengambil masa kira-kira 2 jam.