COMANGO Desak PDRM Henti ‘Gertak’ Numan Afifi, Label Aktivis LGBT Sebagai Pembela Hak Asasi

657

KENYATAAN MEDIA
16hb April 2019

Hentikan segala bentuk intimidasi terhadap Pembela Hak Asasi Manusia

Gabungan NGO-NGO Malaysia dalam Proses UPR (COMANGO) menggesa pihak berkuasa, terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri untuk menghentikan segala bentuk intimidasi terhadap pembela hak asasi manusia.

Numan Afifi

Numan Afifi, seorang pembela hak asasi manusia, dipanggil untuk siasatan oleh Inspektor Zakiman dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman pagi ini (16 April 2019) berhubung dengan suatu intervensi NGO pada Pertimbangan Laporan UPR Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia Ke-40 di Geneva pada Mac 2019.

Siasatan yang tidak berasas terhadap Numan Afifi menandakan tahap terendah baharu dari segi tindakan terhadap pembela hak asasi manusia di Malaysia.

COMANGO mengutuk sebarang tindakan menyoal aktiviti pembela hak asasi manusia di dalam dan di luar negara tanpa sebab yang munasabah.

Sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, COMANGO meningatkan semula komitmen Malaysia terhadap Perisytiharan Hak dan Tanggungjawab Individu, Kumpulan dan Organisasi dalam Memupuk dan Melindungi Kebebasan dan Hak Asasi Manusia Diiktiraf Sejagat (A/RES/53/144). Perisytiharan ini ‘mengiktiraf hak dan tanggungjawab individu, kumpulan dan persatuan untuk mempromosikan penghormatan dan penyebaran pengetahuan mengenai hak asasi manusia dan kebebasan asas di peringkat nasional dan antarabangsa’.

Kami ingin mengingatkan kerajaan untuk menghormati janji-janji mereka untuk membangunkan “usaha untuk menjamin kebebasan dan keselamatan pembela hak asasi manusia” yang dibuat apabila menerima sebahagiannya syor UPR dari Uruguay dan melaksanakannya di Malaysia.