Dahulu Gelar Pemimpin Tidak Bermoral, Hari Ini Mahathir Label Anwar Pemimpin Yang Lebih Baik Dari Najib

494

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata Anwar Ibrahim adalah pemimpin lebih baik berbanding Najib Razak untuk memimpin negara walaupun beliau pernah meragui keupayaan presiden PKR itu suatu masa lalu.

Dalam temubual eksklusif dengan New Straits Times, Mahathir berkata beliau lebih mudah menerima Anwar untuk menggantikan “orang seperti Najib” daripada membenarkan bekas perdana menteri itu terus mentadbir negara.

Sebab itulah beliau memilih untuk bekerjasama dengan Anwar walaupun mereka berseteru pada masa lalu, kata perdana menteri.

“Antara Najib dan Anwar, saya fikir Najib adalah pemimpin yang teruk daripada Anwar.

“Saya fikir kerjasama kami adalah lebih penting, untuk menggantikan Najib daripada kita bertengkar kerana saya tahu jika kami tidak bekerjasama, Najib akan menjadi perdana menteri akan datang dan itu akan menjadi bencana kepada negara,” katanya memetik laporan itu.

Beliau diminta mengulas mengenai Anwar yang bersedia untuk menggantikannya tetapi didakwa tidak layak menjadi pemimpin.

Mahathir dan Anwar mempunyai hubungan yang sukar selama 2 dekad dan ia memuncak apabila Mahathir, semasa bergelar perdana menteri ke-4 telah memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998.

Setahun kemudian, Anwar – yang pada masa itu merupakan anak murid Mahathir – disabitkan dengan kesalahan rasuah dan liwat.

Bagaimanapun, mereka berbaik semula pada 2016 dan bekerjasama untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei.

Ditanya sama ada Anwar mampu mengekalkan Pakatan Harapan, Mahathir berkata Anwar memimpin sebahagian besar parti pemerintah.

“Malah, beliau adalah arkitek Pakatan Rakyat. Sudah tentu, Pakatan Rakyat gagal kerana mereka tidak bersatu padu. Tetapi selepas kami bersama, kami dapat bekerja lebih rapat.”

Sedikit sedutan video kenang-kenangan krisis diantara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu;