Desak Nyatakan Tarikh Serah Kuasa : Setiausaha Politik Tun M Tempelak Pemimpin PKR “Jangan Lebih Sudu Dari Kuah”

567

SHAH ALAM – Pemimpin politik tidak perlu bersikap seperti ‘lebih sudu daripada kuah’ dengan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan tempoh masa yang jelas berhubung peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, pemimpin politik diingatkan supaya tidak sesekali lupa bahawa rakyat Malaysia yang telah meletakkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekali gus memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada hari ini.

“Mandat kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah daripada rakyat. Perkara ini juga telah diputus serta dipersetujui oleh semua pimpinan komponen PH.

“Jadi tidak ada isu untuk menyebut atau membangkitkan soal peralihan kuasa buat masa ini. Lebih baik kurangkan bercakap, banyakkan kerja dan jangan bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid, menerusi satu laporan media meminta Dr Mahathir memberitahu dengan jelas bilakah Perdana Menteri itu akan memberi laluan kepada Anwar untuk menggantikan jawatan tersebut.

Malah, Abdullah Sani turut menyifatkan tidak memadai sekiranya Dr Mahathir terus menyatakan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar yang juga Presiden PKR itu tanpa menyebut dengan jelas tempohnya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, beliau mahu semua pihak terbabit khususnya pemimpin politik berhenti membuat desakan sedemikian dan menegaskan bahawa perkara itu bukan keutamaan negara dan rakyat buat masa ini.

“Rakyat dan pemimpin politik sepatutnya memberi fokus, melaksanakan peranan masing-masing dalam usaha membantu Perdana Menteri mengemaskini pentadbiran serta mengukuhkan semula kekuatan ekonomi negara agar semua rakyat dapat menerima limpahan yang sewajarnya.

“Mungkin ada pihak menganggap keperluan mengukuhkan ekonomi negara adalah tidak rasional untuk dijadikan alasan bagi menangguhkan peralihan kuasa. Bagi saya, anggapan seperti itu adalah dangkal, seolah-olah sengaja dicipta sebagai menjustifikasikan agenda peribadi,” katanya.