Digelar Talam Dua Muka, Ini Jawapan Ron Kamisan

528

Dikenali dengan slogan ‘Malu Apa Bossku’, Ron Kamisan, 33, menjelaskan, penglibatannya bersama dua tokoh pemimpin negara iaitu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamaddan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah menerusi dua acara berbeza.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu ketika dihubungi berkata, tanpa mengira parti pemerintah ataupun pembangkang, dia menyifatkan pertemuan dengan kedua-dua pemimpin itu adalah satu peluang keemasan yang tidak mungkin dipersiakan.

“Saya ni orang biasa saja dan kalau terjumpa mereka dalam khalayak ramai, itu juga biasa. Namun kalau berkesempatan untuk bersua muka sambil duduk berbual, itu adalah peluang keemasan yang tak mungkin saya lepaskan.

“Malah, kalau saya dapat peluang untuk berjumpa dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi pun saya akan manfaatkan,” jawabnya bersahaja.

Ron bertemu Najib ketika mengendalikan sebuah program permotoran yang dinamakan Malu Apa Bossku?

Ron atau Mohd. Nor Kharoni Khamisan berkata demikian bagi mengulas tuduhan warganet yang mendakwanya seorang pemuda bersifat talam dua muka.

Tambah Ron, pertemuannya dengan Najib sejak kebelakangan ini melibatkan program permotoran secara santai bersama anak-anak muda di bawah program Malu Apa Bossku?yang dikendalikannya.

Sementara gambar bersama Tun M dirakamkan kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) pada tahun lalu.

“Kedua-dua pertemuan itu bertujuan untuk menandatangani plat memorial Lepaking dan kami langsung tak bercerita mengenai hal politik.

“Tanpa mengira tokoh parti pemerintah mahupun pembangkang, kedua-dua pertemuan tersebut digunakan untuk berkongsi pendapat serta pandangan mengenai anak muda,” jelasnya.

Lepaking adalah tempat makan yang terkenal dalam kalangan penduduk ibu kota.

Ron merupakan pengasas tempat makan terkenal di ibu kota, Lepaking yang terletak di Gombak.