Dihukum Penjara 10 Tahun: Keluarga Dakwa Penghina Nabi Lakukan Kesalahan Ketika Alami Gangguan Mental

326

KUALA LUMPUR 11 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How dan sepasukan peguam mahu semakan semula dilakukan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun 10 bulan ke atas Alister Cogia kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Chee How berkata, semakan perlu dilakukan untuk memastikan keputusan dikenakan ke atas pemilik akaun Facebook Ayea Yea itu tepat dan dilaksanakan dengan keadaan yang baik.

“Dalam kes ini keluarganya meminta bantuan kami, mereka memberitahu Alister menunjukkan simptom gangguan mental dan memerlukan khidmat nasihat serta terapi psikiatri.

“Malah ibunya turut memberitahu keluarga mereka telah dinafikan hak untuk bertemu Alister ketika dia ditahan reman,” katanya seperti dilaporkan The Star Online, hari ini.

Tambahnya lagi, terdapat keraguan sama ada Alister memahami semua tuduhan yang dibicarakan kepadanya sebelum mengaku bersalah.

“Pada masa ini kami hanya boleh mengatakan dia mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan pemeriksaan psikiatri.

“Kami mahu kes ini ditarik dan akan meminta mahkamah mendapatkan pakar psikiatri untuk memastikan badan kehakiman itu berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman,” katanya.

Alister yang berusia 22 tahun dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan masing-masing lima pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Utusan Online