“Disebabkan TMJ, Rakyat Semakin Hilang Hormat Kepada Institusi Raja-Raja Melayu” kata Khairuddin

593

Tindakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang gemar membuat retorik serta kenyataan politik membuatkan rakyat semakin hilang rasa hormat kepada institusi raja-raja Melayu.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, kadangkala ada kenyataan Tunku Ismail agak bertentangan dengan Perlembagaan yang berteraskan kepada Institusi Raja Berperlembagaan.

“Sekiranya Tengku Mahkota Johor rasa mempunyai asas baik untuk berpolitik, maka ikutlah cara Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tengku Razaleigh Hamzah serta beberapa kerabat lain yang mencemar duli untuk membabitkan diri dalam arena politik secara aktif.

“Kalau gemar cakap politik, ceburilah bidang politik secara sepenuh masa. Ini baru betul dan adil agar rakyat boleh mengkritik apa saja kenyataannya yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Terbaharu, Tunku Ismail terus mempersoalkan kewajaran memeterai perjanjian antarabangsa, selepas kerajaan Malaysia menarik diri daripada  meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menerusi akaun Twitter rasmi miliknya, Tunku Ismail menggunakan hujah keberkesanan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui banyak negara namun kekejaman berterusan masih dialami rakyat Palestin.

Dalam pada itu Khairuddin yakin, rakyat akan lebih menghormati Tunku Ismail seandainya Tunku Mahkota Johor itu mengumumkan untuk membabitkan diri secara sepenuh masa dalam politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus bersikap tegas ke atas sebarang keputusan yang dibuat demi kepentingan keadilan negara serta  sejagat.

“Jangan sama sekali tunduk pada desakan kalangan mereka yang suka membuat tuduhan tidak berasas.

“Hakikatnya, mereka juga sangat hipokrit, tidak sempurna tetapi cuba mempamerkan imej baik.

“Kadangkala mereka juga tidak menghormati undang-undang. Secara jujur, saya amat kecewa dengan sikap kompromi kerajaan PH secara tidak bertempat ini,” katanya.

Jelasnya, isi kandungan Statut Rom perlu dikaji untuk keadilan di negara ini serta seluruh dunia.

“Perkara-perkara yang baik harus disokong dan dilaksanakan secara tegas. Jangan terlalu gemar dan mudah membuat ‘U Turn’ dari perkara-perkara untuk kebaikan negara dan sejagat

“Kenapa kerajaan PH harus tunduk kepada tekanan yang tidak berasas? Saya cukup tidak faham. Jangan takut pada gertakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apakah kita harus bersikap bacul dan tunduk pada tekanan yang tidak berasas sama sekali?” soalnya.

Kata Khairuddin lagi, prinsip untuk menjaga kepentingan keadilan negara serta dunia tidak harus dikompromi sama sekali seandainya dia berada di tempat Menteri Luar.

“Seperti kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, langkah mayatnya dahulu sebelum mahu singkirkan Dr Mahathir, prinsip demokrasi harus dipegang secara utuh oleh semua pihak.

“Jangan pandai bercakap saja, jangan cakap lain dan buat lain di belakang,” ujarnya lagi.

Kerajaan sebelum ini memutuskan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom ICC yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja.