Dituduh Jadi Dalang Jatuhkan Mukhriz, Najib Minta Buktikan Tuduhan

864

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir membuktikan dia menjadi dalang dalam menjatuhkan beliau sebagai menteri besar Kedah untuk kali kedua.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, Mukhirz perlu mengeluarkan semua bukti yang beliau ada untuk menunjukan dia terlibat untuk menyingkirkan Mukhirz daripada jawatan tersebut.

Najib berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan beliau hanya duduk di rumah bermain Facebook, kucing dan makan super ring.

“Sebab apa saya disalahkan apabila pemuda ini hilang kerja? Sejak PKP bermula, saya cuma #stayathome main FB, main kucing dan makan super ring.

“Pemuda ini ada bukti tak bahawa saya terlibat? Sila keluarkan. Dalam bulan Ramadan ni pun dia sanggup berbohong macam ni,” kata Najib.

Mukhirz dalam sidang akhbar hari ini menuduh Najib sebagai watak utama menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan di Kedah.

Menurut anak bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir itu, walaupun arahan untuk menjatuhkannya sebagai menteri besar datang daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, namun Najib merupakan orang di belakang Presiden Bersatu itu.

Mukhriz mendakwa, Najib menyinkirkannya bagi membebaskan diri daripada pertuduhan pecah amanah.

“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datang daripada presiden Bersatu melalui Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu iaitu Najib Razak.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata membebaskan dirinya daripada pertuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia.

“Lihat saja apa sudah jadi pada kes pengubahan haram pada anak Rosmah Mansor iaitu Riza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu,” kata Mukhriz dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah, hari ini.