Dividen LTAT : Pulangan Rendah Kerana Kesilapan Kerajaan Terdahulu

780

Pulangan dividen Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) yang rendah untuk 2018 – iaitu dua peratus – berdasarkan kemampuan lembaga itu pada masa ini, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, dividen yang tinggi memerlukan pulangan pelaburan yang baik tetapi itu tidak berlaku.

“Pelaburan tidak munasabah yang dijalankan oleh kepimpinan terdahulu menyebabkan kurangnya pulangan untuk tahun ini (2018).

“LTAT perlu menjaga kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk jangka masa panjang… tiada guna untuk mengisytiharkan dividen yang tinggi jika ia memberi kesan negatif terhadap kewangan (LTAT) untuk jangka masa panjang

“Kerajaan tidak gusar untuk mengisytiharkan pulangan yang rendah kerana ia seiring dengan kemampuan LTAT pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, LTAT mengumumkan dividen sebanyak 2.0 peratus – paling rendah dalam sejarah – bagi ahlinya untuk tahun kewangan 2018 yang berakhir 31 Disember 2018.

Menurut Bernama, Ketua Eksekutif LTAT Nik Amlizan Mohamed berkata kadar itu berdasarkan hasil yang diraih bagi tahun kewangan 2018 yang merosot ekoran “pelbagai faktor yang melibatkan dua tahun kewangan sebelumnya”.

Kata Amlizan lagi, antara faktor itu ialah perakuan semula tahun kewangan 2016 dan 2017 yang telah memberikan dividen melebihi sepatutnya, yang akhirnya menyebabkan kesan negatif kepada pendapatan LTAT.

Pengerusinya Dr Mohd Zahidi Zainuddin pula berkata audit oleh Ernst & Young (EY) mendapati berlaku kepincangan dalam kedudukan kewangan tetapi ia bukan berunsur jenayah, tetapi lebih kepada salah pengurusan.

Mohamad berkata lagi, pengurusan LTAT hari ini mewarisi organisasi yang mengalami ketidakpatuhan dan kelemahan pengurusan hasil “kepimpinan tidak telus sebelum ini”.

“Sebagai contoh, LTAT menerima Pendapat Berteguran daripada Jabatan Audit Negara bagi tahun kewangan 2017. Jumlah keuntungan bersih LTAT pada tahun itu diselaraskan kerana mengambil kira hasil jualan tanah yang belum dimuktamadkan,” jelasnya, sambil berkata penyelarasan itu menunjukkan pendapatan sebenar pada tahun itu kurang 30 peratus, iaitu RM686.8 juta kepada RM459.5 juta.

Katanya lagi, pendapatan bersih pada 2016 sebelum ini juga mengambil kira penjualan tanah yang belum dimuktamadkan dan selepas penyelarasan dibuat, pendapatan sebenar berkurang daripada RM685.5 juta kepada RM356.2 juta.

Mohamad menggesa LTAT untuk memperketatkan strategi bagi menjana pulangan yang mampan dan lebih baik pada masa akan datang.

“LTAT telah menjalankan tanggungjawabnya seiring menjana pulangan yang mampan untuk ahlinya. (Dividen berdasarkan kemampuan) penting bagi melindungi simpanan ahli supaya tidak tergadai seperti semasa pentadbiran sebelum ini,” katanya lagi.

Terdahulu hari ini, bekas perdana menteri Najib Razak enafikan dividen rendah LTAT tahun ini berpunca daripada masalah yang berlaku ketika pentadbirannya.

Beliau juga berkata kerajaan “malu” untuk menyatakan faktor utama kadar itu, antaranya disebabkan kerugian kebanyakan pelaburan besar LTAT ekoran kemerosotan ekonomi selepas PRU ke-14.