Dua Penjenayah Maut, Mangsa Culik Selamat

155

POLIS menembak mati dua penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di rumah di Taman Mundun, Batu 9, Cheras, hari ini.

Dalam kejadian 1.35 pagi itu, polis turut berjaya menyelamatkan warga Bangladesh berusia awal 30-an dipercayai mangsa culik.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat serbuan ke atas rumah selepas menerima maklumat berhubung kes penculikan seorang warga asing.

“Ketika serbuan berlaku insiden tembak menembak antara pihak polis dan suspek. Bagaimanapun, polis berjaya menembak mati dua lelaki dipercayai warga asing.

“Pemeriksaan ke atas dua suspek itu tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri. Polis turut menemui pistol 9mm dan parang yang digunakan suspek,”katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki warga Bangladesh berkenaan diculik pada 8 Februari lalu di sekitar Sentul.

“Polis percaya dua lelaki berkenaan yang menganggotai kumpulan culik warga asing aktif menculik warga asing di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Salah seorang suspek yang ditembak mati dipercayai dalang utama kumpulan terbabit. Polis kini dalam proses mengenal pasti identiti kedua-dua suspek,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.