Exco Rogol Amah : Laporan Forensik Ke Atas Mangsa, Suspek Dijangka Diperolehi Dua Atau Tiga Minggu Lagi

703

Tiada unsur berat sebelah dalam siasatan terhadap seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumah baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Razarudin Husain berkata jaminan polis diberikan kepada Paul Yong Choo Kiong kerana siasatan telah selesai dan tindakan itu adalah berpandukan kepada undang-undang serta Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Apabila kita siasat kes, kita akan tangkap suspek atau orang kena tuduh jika (suspek) ganggu siasatan atau mangsa atau ada kemungkinan (suspek) melarikan diri, jika tiada lagi siasatan perlu kita buat, kita tidak perlu tahan.

“Dalam undang-undang jaminan perlu diberikan bagi kes yang boleh dijamin, maka bila siasatan lengkap kita kena jamin. Bukan sebab berpihak atau (suspek) Exco. Tiada kena mengena dengan ini,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Razarudin mengulas mengenai desakan segelintir pihak yang mahu polis menahan semula Yong yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun yang merupakan pembantu rumah Yong membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mendakwa dirogol Exco itu di rumah majikannya itu di Meru.

Razarudin dalam satu kenyataan pada 10 Julai memaklumkan, tangkapan ke atas Yong telah dibuat pada 9 Julai yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama setelah memberi keterangan sementara siasatan dilengkapkan.

Menjelas lanjut, Razarudi berkata pihaknya telah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Pengarah Pendakwaan negeri untuk tujuan semakan dan kajian secara terperinci, dua hari lepas.

Mengenai laporan perubatan serta forensik mangsa serta suspek, Razarudin berkata kedua-dua dokumen itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata pihaknya telah mendapat Kuasa Untuk Menyiasat daripada Pengarah Pendakwaan negeri untuk menyiasat kes membabitkan Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri.

Katanya kes itu melibatkan dua kertas siasatan dengan yang pertama adalah berkaitan laporan polis oleh bekas pegawai khas Abdul Yunus, Beh Yong Kean yang mendakwa Exco tersebut membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri dan ia disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi.

“Satu lagi kertas siasatan adalah berhubung laporan polis ke atas Beh yang dibuat oleh Abdul Yunus dan ia disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya menambah polis telah merakam percakapan kedua-dua individu berkenaan. — Bernama