Faktor Umur Sebabkan Mamat Khalid Perlu Lebih Masa Untuk Pulih

187

Pengarah terkenal Mamat Khalid yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) baru-baru ini masih memerlukan lebih masa untuk pulih susulan faktor umurnya.

Isterinya, Hasmah Hassan berkata, meskipun begitu keadaan Mamat sudah menunjukkan perkembangan positif bermula dari hari pertama sejak dia dimasukkan ke hospital.

“Dos ubat sudah dikurangkan dan bengkak jantung juga dah berkurangan.

“Cuma sebab umur dia sekarang, kena ambil masa sikit untuk jantung dia boleh bekerja semula secara normal.

“Bacaan urin juga tiada masalah, semuanya baik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Mamat kini berusia 54 tahun.

Pengarah filem Hantu Kak Limah itu pada 25 Januari lalu dimasukkan ke sebuah pusat perubatan selepas mengadu sakit dan dada dan batuk berterusan.

Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami masalah paru-paru dan jantung.

Hasmah yang mesra dipanggil Kak Intan itu berkata, doktor terpaksa meletakkan suaminya dalam keadaan koma pada keesokan harinya bagi membolehkan jantung dan organ dalaman lain berehat.

Dua hari lalu pula, Mamat dilaporkan sudah separa sedar dan memberi respon dengan menggerakkan bahagian kaki dan tangannya.

Hasmah mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan orang ramai dan meminta mereka terus mendoakan kesejahteraan suaminya.

“Insya-Allah dengan doa dan solat hajat tuah akan berlaku, ini semua mesin tetapi kita yang manusia masih boleh lakukan pelbagai ikhtiar,” katanya mengakhiri perbualan.

Mamat pada 16 Januari lalu dilihat hadir ceria walaupun tampil dengan berkerusi roda ke majlis tayangan perdana filem XX Ray 3, karya yang mendapat arahan Aziz M Osman.

Mamat juga baru selesai mengarah filem sekuel Rock 4: Quo Vadis Komer yang kini masih dalam proses suntingan.