[GAMBAR] Dua Maut, Tiga Parah Dihempap Struktur Bumbung Gudang

356

DUA pekerja lelaki warga asing maut manakala tiga lagi parah selepas struktur bumbung sebuah gudang dalam pembinaan runtuh di Kawasan Perindustrian Juru, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, dua lelaki berkenaan disahkan maut di lokasi kejadian selepas dihempap struktur runtuhan.

Lima pekerja warga asing itu dikatakan sedang melakukan kerja membina semula bangunan kilang yang terbakar sebelum kerangka bumbung tiba-tiba runtuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.42 petang.

Katanya, terdapat lima mangsa terperangkap dalam runtuhan berkenaan.

“Empat mangsa sudah dikeluarkan dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia.

“Kami masih menjalankan kerja mengeluarkan seorang lagi mangsa yang tersepit,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat manakala mangsa cedera turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.