[GAMBAR] Serang Polis Dengan Parang, Lelaki Ditembak

157

SEMPORNA: Bagaikan babak daripada satu drama swasta, polis terpaksa menembak kaki seorang lelaki yang bertindak ganas dan cuba menyerang mereka dengan sebilah parang di Kampung Sungai Intan di sini pagi tadi.

Suspek masih enggan menyerah diri walaupun selepas dipujuk dan cedera pada bahagian kakinya. 

Sebelum itu usaha memujuk lelaki berusia 38 tahun itu agar menyerah diri dilakukan oleh anggota polis terbabit, namun suspek yang bersenjatakan parang sepanjang 66 sentimeter itu terus mengajukan senjatanya dan meluru ke arah pihak berkuasa.

Suspek yang melakukan serangan sebanyak dua kali menyebabkan anggota polis terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan dua das tembakan ke arah suspek dan terkena di bahagian kedua-dua kakinya.

Suspek (kiri) yang cuba menyerang anggota polis berjaya ditahan dan parang yang digunakannya turut dirampas

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku pada 11.25 pagi itu.

“Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan demi mempertahankan diri selepas diserang suspek dalam kejadian itu.

Suspek yang cuba menyerang tiga anggota polis di Kampung Sungai Intan, Semporna.

“Hasil siasatan mendapati, tiga anggota polis termasuk mangsa yang berpangkat Lans Koperal bertindak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam mengatakan suspek sedang mengamuk.

“Ketika tiba di lokasi suspek cuba menyerang ketiga-tiga polis menggunakan parang sepanjang 66 sentimeter hingga menyebabkan dua anggota polis masuk semula ke dalam kenderaan manakala mangsa masih berada di luar kenderaan terbabit,” katanya.

Peter berkata dalam keadaan cedera dan terduduk suspek masih enggan melepaskan parang terbabit walaupun sudah dipujuk untuk menyerah diri.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut manakala parang yang digunakan suspek berjaya dirampas.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.