Hanya Mohon Maaf Selepas Diberi Habuan Sebagai CEO

210

Selepas hampir tiga tahun, akhirnya bekas anggota DAP Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai “Superman” memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Ini susulan tindakan beliau mencetuskan kontroversi dengan mengisytiharkan Laut China Selatan milik China, pada Julai 2016.

Hew berkata, kenyataan beliau tiga tahun lepas hanyalah pandangan peribadinya dan bukan pendirian DAP yang dianggotainya sebelum ini.

“Sebagai warganegara Malaysia yang setia, saya tetap dan akan terus mempertahankan kedaulatan Malaysia.

“Maka kini saya secara terbuka menarik balik kenyataan yang dibuat pada ketika itu dan saya bersetuju bahawa isu Laut China Selatan itu perlu dilihat dalam rangka Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea oleh ASEAN untuk menyelesaikan segala konflik secara aman demi menjaga keamanan, keselamatan dan kebebasan belayar di Laut China Selatan.

“Di sini saya juga ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia secara terbuka bagi segala kontroversi yang timbul ekoran isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hew semalam dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC) berkuat kuasa 1 Februari.

Pelantikan Hew itu diumumkan oleh Pengerusi Tan Kok Wai, yang juga duta khas ke China dan pengerusi DAP.

MCBC, yang diperbadankan daripada Majlis Perniagaan Bersama China-Malaysia (JBC), berperanan sebagai penyedia khidmat nasihat dan maklumat perniagaan untuk usahawan Malaysia di China dan usahawan China di negara ini.

JBC ditubuhkan oleh agensi kerajaan China, Majlis China untuk Promosi Perdagangan Antarabangsa (CCPIT) dan satu entiti tempatan pada 2002.

Mengulas lanjut lantikan itu Hew berkata beliau sudah menjangkakan pelantikannya sebagai ketua pegawai eksekutif MCBC mendapat kritikan ramai.

Bagaimanapun, kata Hew label “pro-China” dan “anti-China” yang diberikan secara serentak sebaik sahaja sahaja lantiknya jelas satu tuduhan yang bercanggah.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya akan membantu meningkatkan persahabatan di antara Malaysia dan China serta menggerakkan Belt and Road initiative atas dasar win-win yang akan memastikan Malaysia mendapat faedah tanpa kompromi terhadap hak dan kedaulatan negara kita.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan menyumbangkan tenaga saya dalam usaha mewujudkan kerjasama globalisasi yang lebih saksama dan adil serta membina the fate of the human community,” katanya.

Hew sebelum ini dilaporkan didakwa tidak patriotik kerana mengisytiharkan Laut China Selatan milik China dalam satu kiriman di Facebook pada Julai 2016, di tengah-tengah pertikaian antara negara komunis itu dan negara-negara Asean termasuk Malaysia.