Hasut Benci Sultan : Istana Buat Laporan Polis Terhadap Akaun Facebook Dikaitkan Dengan Nga Kor Ming

687

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor mengesahkan laporan polis dibuat oleh seorang pengiring sultan Selangor terhadap pemilik akaun “Nga Kor Ming Super Fans Page” yang didakwa menghasut masyarakat Cina membenci Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mazlan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu memandangkan ia masih dalam siasatan.

“Ada siasatan kalau tak silap saya. Ada laporan dibuat semalam. Kita siasatlah dulu. Tengok macam mana.

“Apapun, biar kita lihat daripada semua angle (sudut) dulu. Saya tak mahu komen di peringkat ini,” katanya kepada pemberita di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Ijazah Sarjana Sains Sosial (pengajian kepolisan), Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan (DESS) sesi 2017/2019.

Beliau ditanya sama ada terdapat laporan polis dibuat berhubung hantaran Facebook yang kononnya dibuat mewakili pengerusi DAP Perak itu.

Difahamkan, laporan polis itu dibuat di balai polis Seksyen 6 Shah Alam dan disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Hantaran itu kononnya menampakkan Nga mengajak orang Cina yang tidak puas hati membuat bantahan terhadap sultan Selangor, susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di negeri itu.

Namun Nga menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran menghasut masyarakat Cina untuk membenci Sultan Selangor.

Dalam perkembangan lain, Mazlan enggan mengulas mengenai laporan media antarabangsa yang melaporkan kedudukan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Bukan dalam pengetahuan saya. Tanyalah siapa yang bagi maklumat itu. Kita pun tak tahu,” katanya.