Haziq Perlu Dipecat Kerana Memalukan dan Mencemar Nama Baik Parti – Zuraida

351

PUTRAJAYA: Kepemimpinan PKR perlu memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana memalukan serta mencemar nama baik parti susulan pengakuannya secara terbuka terbabit dalam video seks, kata Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida turut menyifatkan kepemimpinan parti kurang bijak apabila tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu walaupun selepas membuat pengakuan secara terbuka.

Sehubungan itu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau akan menyampaikan usul dalam Mesyuarat Biro Politik PKR petang ini supaya Haziq dipecat.

“Saya nak tekankan perkara asas yang pada prinsipnya tindakan PKR kurang bijak apabila (Haziq) sudah mengaku kesalahan secara terbuka.

“Kelakuan (seks) luar tabie adalah jenayah dalam negara, patut dia dipecat kerana memalukan serta mencemar nama baik parti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aplikasi Mobil i-Gadaian dan Sambutan Hari Raya kementeriannya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dalam video berkenaan bahawa beliau yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalam’, Zuraida berkata, biar polis menjalankan siasatan.

“Kalau Azmin yang dianggap pesalah tetapi menafikan pembabitan beliau, maka kita serah kepada polis untuk siasat,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kenyataan beberapa pihak yang mendesak Mohamed Azmin meletak jawatan susulan penularan video berkenaan sebagai konyol.

“Saya memandang desakan Azmin letak jawatan sebagai cadangan yang konyol.

“Saya ingat orang yang buat kenyataan itu harus lebih waras, mereka yang berada di sebalik penyebaran video itu adalah lebih baik membantu membina negara,” katanya.

Mohamed Azmin semalam dilaporkan berkata, beliau yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalam’.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun dilaporkan berkata dakwaan Mohamed Azmin bahawa penularan video terbabit mungkin didalangi ahli parti, tidak boleh membaiki tuduhan yang lain.

Saifuddin dilaporkan berkata, dakwaan mengenai pembabitan ‘orang dalam’ di sebalik penularan video berkenaan adalah ‘tuduhan yang biasa’ dan berharap polis diberi ruang menjalankan siasatan.