Hibah Tabung Haji Akan Diumum Bersama “April Fool”?

479

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada 14 Februari lalu dipetik memaklumkan kepada media bahawa pengumuman berkaitan hibah tabung haji dijangka akan dapat dilakukan pada Mac ini.

Bernama melaporkan;

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini berkata, bayaran hibah bagi tahun 2018 kepada pendeposit Tabung Haji (TH) dijangka akan diumumkan Mac ini.

“Yang itu (bayaran hibah [dividen]) kena tunggu, mungkin Mac ini. Saya difahamkan menurut amalan biasa jika telah tutup akaun ia mungkin akan bermula (bayar) hujung Februari atau mungkin awal Mac atau pertengahan Mac akan diumum,” katanya pada sidang media di Menara Tabung Haji, di sini.

Sebelum ini TH mula melaksanakan pelan menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira yang mencatatkan defisit lebih RM4.1 bilion pada 2017 dan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari lepas bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Mujahid dipetik sebagai berkata, sejak 2014, TH telah gagal memenuhi dua syarat yang membolehkan pembayaran hibah dilakukan — dua syarat itu adalah aset tidak boleh kurang daripada liabiliti dan perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.

Sementara itu, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji kali pertama bagi musim ini meskipun berdepan cabaran kewangan, katanya.

Beliau memberi jaminan pengekalan subsidi jemaah berkenaan tidak akan menjejaskan pembayaran hibah.

Mujahid berkata, sehubungan itu bayaran bagi mengerjakan haji kali pertama bagi golongan jemaah itu masih kekal RM9,980 seorang.

“Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Tabung Haji berusaha menanggung subsidi lebih daripada RM306 juta, ia susulan peningkatan kos haji tahun ini sebanyak RM22,900 seorang berbanding RM22,450 pada musim haji lalu,” katanya.

Mujahid berkata, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini Tabung Haji telah menangung subisidi melebihi RM1 billion bagi menampung jemaah haji mengerjakan ibadat tersebut.

Mengulas mengenai kuota haji bagi musim ini, beliau berkata berdasarkan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi, kuota haji adalah kekal pada 30,900 seperti tahun lalu.

“Memang kami ada berbincang untuk menambah kuota berdasarkan 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara ini iaitu 31,300, tetapi terdapat beberapa kekangan di pihak kerajaan Arab Saudi membuatkan kuota itu tidak dapat dipenuhi,” katanya.

Berkenaan dengan rayuan haji, Mujahid berkata, ia akan berjalan seperti biasa, namun sebarang keputusan akan mengambil prinsip istito’ah (berkemampuan) dalam pertimbangan meluluskan rayuan tersebut. – Bernama

Sungguhpun begitu, artikel ini ditulis, sehari sebelum April menjelma, pengumuman yang kononnya dijangka akan dibuat sekitar Mac tidak kunjung tiba.

Jika mengikut rekod, ketika ditadbir kerajaan terdahulu, hibah Tabung Haji kebiasaannya akan diumum sekitar akhir Januari atau awal Februari.

Persoalan yang timbul sekarang, apakah hibah Tabung Haji akan diumum pada hari yang sama sambutan “April Fool“?