[VIDEO] Hilang Jawatan MB Kali Ke2 : Mukhriz Salahkan Najib

693

Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah berkuat kuasa hari ini, selepas hilang majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mukhriz pada sidang medianya di Wisma Darul Aman, turut mengumumkan peralihan kuasa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Kedah dan kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turut gugur secara automatik.

Katanya, perubahan kerajaan Persekutuan kepada Perikatan Nasional (PN) menyebabkan perubahan kerajaan negeri di Johor, Melaka dan Perak.

“Di Kedah pula pada awalnya, saya telah mengambil pendirian mengekalkan kerjasama politik bersama PH Kedah dan meneruskan kerajaan negeri dengan kepimpinan PAS negeri memberi jaminan mereka tidak akan mendesak ADUN PH melompat serta bersetuju saya kekal sehingga akhir penggal.

“Pergolakan politik kepartian bagaimanapun menyebabkan dua ADUN PKR meninggalkan parti, sekali gus PH hilang majoriti sebelum empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diarah menyokong PN di Kedah.

“Maka dengan itu, pihak lawan mempunyai 23 kerusi berbanding 13 dari PH termasuk dua dari BERSATU,” katanya.

Mukhriz menjelaskan, beliau berpegang kepada prinsip bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu menolak kerjasama bersama UMNO dan disebabkan itu memutuskan untuk tidak menerima pelawaan PN Kedah untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Umum juga mengetahui saya mencabar jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan akan datang, selain Tun Mahathir pula memfailkan usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga ADUN Jitra berkata, pihaknya tidak berhasrat memanjangkan isu ini ke mahkamah berikutan Undang-Undang Tubuh Negeri menjelaskan terdapat keadaan Menteri Besar hilang majoriti perlu melepaskan jawatan.

Selasa lalu, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN, termasuk daripada BERSATU.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).