Hilang Sabar, Mujahid Guna Perkataan ‘Tahi’ Di Dewan Rakyat

841

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hilang sabar selepas diasak bertalu-talu oleh Ahli Parlimen pembangkang mengenai isu Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu yang kelihatan emosi akhirnya mengeluarkan perkataan ‘tahi’ hingga menyebabkan ramai penyokong pembangkang bangun untuk meminta beliau menarik balik perkataan yang dianggap menghina dewan yang mulia.

“Mereka kata macam-macam sedang kita ini hendak buat, selamat daripada orang dulu yang buat tahi,” katanya dalam nada tegas.

Perkataan ‘tahi’ ditujukan kepada kerajaan dan pengurusan TH dahulu yang didakwa telah menyebabkan institusi tersebut mengalami defisit RM4.1 bilion.

Semua bermula apabila Mujahid selesai menjawab soalan Awang Hashim (Pendang – PAS) adakah aset anak syarikat TH yang telah dicairkan melalui syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan dan sekiranya ada, aset yang mana dan berapa perolehannya.

Keadaan menjadi kecoh apabila beliau enggan mengumumkan nama individu yang menerajui SPV tersebut apabila ditanya soalan tambahan oleh Awang.

Namun Mujahid membalas asakan pembangkang dengan mendakwa sering memutarkan belit tentang kenyataannya tentang TH hingga menjadi tular di media sosial.

Antaranya TH kini di bawah parti DAP.

Namun penyokong pembangkang terus mendesak untuk mendedahkan siapa Ketua Pegawai Eksekutif SPV itu dan bila dividen hendak diberikan.

Paling bersuara adalah Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling – BN) yang merupakan bekas Pengerusi TH.

Mujahid sempat menyindir Abdul Azeez jangan bercakap banyak kerana pihaknya tahu apa yang dilakukan ke atas TH sebelum ini.

Akhirnya gara-gara hilang sabar, Mujahid mengeluarkan perkataan tahi yang menjadikan penyokong pembangkang menjadi berang termasuk Azeez; Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak); Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar); Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) dan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Pas-Kuala Terengganu) lantas bangun meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Mujahid.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof  kemudian meminta Mujahid menarik balik perkataan tersebut.

Mujahid bersetuju menukarkannya dengan berkata, pimpinan Tabung Haji dahulu telah membuat onar.

Namun Abdul Azeez sempat menyerang Mujahid sebagai tahi yang kembali membuatkan menteri itu mengadu kepada Mohamad Ariff kenapa Ahli Parlimen Baling itu masih menggunakan perkataan tahi sedang beliau sudah menarik balik.