Himpunan Pertahan Kedaulatan #405 : Hanipa Bimbang Berakhir Dengan Rosakkan Lagi Imej Islam

580

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata beliau keliru dengan motif Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mahu menganjurkan himpunan hujung minggu ini dengan alasan mahu mempertahankan kedaulatan Islam.

Kata Hanipa beliau juga meragui adakah kumpulan terbabit benar-benar memahami apakah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebenar sehingga mereka mahu mengadakan perhimpunan berkenaan.

“Bagi saya, saya agak keliru apabila dikatakan ancaman kepada kedaulatan Islam itu – antaranya – melibatkan Statut Rom.

“Saya ragui Statut Rom itu telah benar-benar difahami atau jika difahami, adakah ia difahami dengan betul dan tepat,” katanya.

Anggota parlimen Sepang itu menambah tidak ada alasan untuk mendakwa Islam terancam apabila Statut Rom itu disokong sehingga membolehkan pihak yang terlibat dengan jenayah kemanusiaan diambil tindakan.

“Yang saya faham sebaliknya, iaitu jika kita menentang jenayah ke atas kemanusiaan, itulah yang dikatakan mendaulatkan Islam,” kata Hanipa di media sosial hari ini.

Semalam Ummah mengumumkan rancangan mereka untuk mengadakan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam secara di ibu negara Sabtu ini. 

Bukan dengan emosi

Timbalan Pengerusi Ummah, Kamaruzaman Mohamad, berkata himpunan tersebut akan bermula di Masjid Jamek dan berakhir di kompleks beli-belah Sogo.

Kamaruzaman yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu menambah himpunan tersebut juga akan menyentuh isu bahasa kebangsaan dan Sijil Kelayakan Bersepadu (UEC).

Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam beberapa hari lalu lebih awal mempromosikan perhimpunan terbabit.

Kata Hanipa jika wujud perbezaan pandangan lebih baik kumpulan terbabit menggunakan kaedah wacana atau diskusi bagi membincangkan Statut Rom.

“Islam ini agama yang amat pentingkan soal akal yang ada kaitan dengan ilmu, pendidikan, logika dan rasionslisasi yang semuanya ada kaitan dengan menggunakan otak.

“Membela Islam itu perbuatan terpuji, tapi jika membela hanya dengan emosi dan bukan dengan ilmu pengetahuan, apa jaminan ia tidak bersifat counter productive?

“Nak bela Islam, takut-takut berakhir dengan makin rosakkan lagi imej Islam,” katanya.