Hina Nabi : Semua Pihak Diminta Bertenang

221

IPOH – Semua pihak di negeri ini diminta bertenang dan mengawal perasaan masing-masing berhubung isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW melalui laman Facebook.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, rakyat seharusnya memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan seterus bertindak ke atas pelaku.

Katanya, sebagai peguam, tindakan polis membebaskan individu yang didakwa memuat naik karikatur menghina Islam itu prosedur biasa selepas siasatan dibuat.

“Biar pihak berkuasa bertindak kerana prosedur ini sama sahaja seperti kes-kes sebelum ini melainkan ada pihak yang sengaja mahu cetuskan ketegangan.

“Nasihat saya, jangan terpengaruh dengan pihak yang cuba cetuskan ketegangan kaum. Saya yakin perkara ini tak akan pergi jauh sebab kita nak majukan negeri dan negara ini. Kita tak nak huru-hara,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Semalam, kira-kira 500 orang berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh bagi mendesak lelaki warga emas yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW segera dibawa ke muka pengadilan.

Himpunan tersebut juga memaksa pihak polis menutup sementara Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab untuk memberi ruang himpunan itu berlangsung secara aman.

Sementara itu, Asmuni berkata, orang ramai tidak perlu membuat laporan kepada individu terbabit kerana pihak polis sudah mengambil tindakan.