Hospital Semenyih Harus Dipertimbangkan Jika Calon PH Menang – Tun M

202

HULU LANGAT 1 Mac – Perdana Menteri memberi peringatan sambil menyindir barisan Kabinet bahawa calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali boleh meminta hospital baharu seperti yang diimpikannya untuk penduduk Semenyih.

Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, bagaimanapun, permintaan itu harus dipertimbangkan jika calon PH berkenaan menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, di bawah kerajaan PH, jika Muhammad Aiman menang, dia boleh tunaikan janji-janjinya kepada rakyat berbanding calon Barisan Nasional.

“Selepas menang, dia (Muhammad Aiman) boleh bisik kat menteri-menteri, eh! kami nak hospital lah. Kalau menteri berkenaan tak bagi juga, kita ketuk kepala dia,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Ceramah Perdana PH di pekarangan Tesco Semenyih, di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.