Hutang Bertambah RM55 bilion Di Bawah Kerajaan PH, Apa Sudah Jadi Dengan Duit Tabung Harapan?

643

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menambah hutang negara RM55 billion pada tahun lalu.

“Tahun ini pula naik lagi RM27.8 bilion untuk tiga bulan pertama dengan RM20.5 bilion bon pinjaman kerajaan baru dan RM7.3 bilion bon Samurai,” katanya di Facebook hari ini.

Kesal kerana kerajaan tidak menggunakan “satu sen pun” Tabung Harapan berjumlah RM202 juta, beliau menganggap bon itu “bukan untuk bayar hutang” tetapi “tambah hutang”.

“Itupun belum ambil kira RM82 bilion dividen Petronas dan dividen RM1.5 bilion yang Khazanah terpaksa bayar walaupun telah rugi besar pada tahun lepas,” kata Najib lagi.

Beliau berkata fakta berkenaan dipetik daripada data rasmi kerajaan yang turut membuktikan rizab negara jatuh US$10 bilion (RM40.8 billion)

“Hakikatnya, mereka takut untuk menjawab kerana rakyat akan tahu keadaan sebenar di bawah PH,” kata Najib lagi.